Semasa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) disifarkan pada 1 Jun lalu, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan menyatakan bahawa syarikat-syarikat tembakau dilarang menurunkan harga dengan 6.0 peratus GST yang dikenakan ke atas rokok. - Foto hiasan
Semasa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) disifarkan pada 1 Jun lalu, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan menyatakan bahawa syarikat-syarikat tembakau dilarang menurunkan harga dengan 6.0 peratus GST yang dikenakan ke atas rokok. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR – JT International Bhd (JTI Malaysia) mendakwa pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas rokok telah mengakibatkan perang harga dalam pasaran.

Sehubungan itu, syarikat berkenaan mahu Kementerian Kesihatan memberi penjelasan lanjut berhubung pelaksanaan SST oleh kerajaan ke atas harga rokok.

JTI Malaysia berkata, pengenalan cukai tersebut telah menimbulkan kekeliruan pelanggan dengan harga baharu rokok.

Menurutnya, semasa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) disifarkan pada 1 Jun lalu, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan mengeluarkan kenyataan bahawa syarikat-syarikat tembakau dilarang menurunkan harga dengan 6.0 peratus GST yang dikenakan ke atas rokok.

“Selepas pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan pada 1 September, harga-harga rokok dikehendaki dinaikkan mengikut peraturan Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sehingga 5 September lalu, JTI telah meningkatkan harga bagi semua produknya berdasarkan perbezaan kadar cukai antara GST dan SST.

Bagaimanapun, pada masa ini, perbezaan harga ditetapkan oleh pengeluar-pengeluar tembakau telah menyebabkan berlaku dinamik harga dalam pasaran yang tidak dilihat dalam Malaysia sejak beberapa tahun lalu.

Sebagai contoh, terdapat produk-produk yang mana harga telah meningkat hanya untuk kembali kepada harga lama.

Pengarah Urusan JTI Malaysia, Cormac O’Rourke berkata, di Malaysia sebarang perubahan harga rokok tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kesihatan.

Tambahnya, adalah satu kesalahan bagi mana-mana pengeluar tembakau untuk menyerap sebarang kuantum kenaikan.

“Berdasarkan pemerhatian kami, ia seperti telah menukar harga sebahagian jenama rokok dalam pasaran kepada harga pra-SST.

“Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan perlu campur tangan dan membuat keputusan pada titik harga dengan tepat, mengambil kira kelulusan yang diperlukan bagi kadar pembezaan SST dan GST, serta tidak membenarkan mana-mana syarikat memperoleh kelebihan dengan potongan harga.

“Ia penting bagi mengelakkan sebarang kelebihan harga melalui promosi harga yang bertentangan dengan undang-undang Kementerian Kesihatan, “katanya. – MalaysiaGazette