KUALA LUMPUR – Bekas menteri Barisan Nasional (BN), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata keputusan parti itu untuk tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson adalah tindakan terbaik yang dilakukan Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Keputusan BN tak bertanding di PD adalah terbaik. Sebagaimana TRH (Tan Sri Razaleigh Hamzah) berkata jentera BN tidak bersedia dan tidak bermotivasi. Bukanlah boikot seperti kata DSZH (Datuk Seri Ahmad Zahid) boikot PRK. Tu tak timbul. Terus terang lagi baik,” katanya di Twitter beliau.
Syed Hamid Albar sebelum ini dilihat menghadiri majlis sambutan Ulang Tahun Ketiga Parti Amanah Negara (Amanah) di Dewan Tun Razak, Temerloh, Sabtu lalu.
Pada 29 Jun lalu, Syed Hamid mengumumkan keluar UMNO dengan memberikan alasan parti itu sudah lari daripada perjuangan asalnya.
Turut dilihat Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee yang membuat keputusan sama keluar parti berkuat kuasa serta-merta hari ini.
Bekas Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) itu merujuk kepada Ahmad Zahid yang mengesahkan UMNO atau mana-mana komponen Barisan Nasional tidak akan bertanding dalam PRK Port Dickson yang akan berlangsung pada 13 Oktober ini.
Perkara itu diumum oleh Ahmad Zahid setelah berbincang dengan dua rakan komponennya iaitu MCA dan MIC.
“Menyedari hakikat demikian maka kita mengambil keputusan setelah Biro Politik UMNO bermesyuarat. Kami mengambil keputusan bahawa BN akan memboikot PRK Port Dickson pastinya kita tidak akan meletakkan sebarang calon yang mewakili mana-mana parti komponen BN atau nama BN di dalam hal ini,” katanya selepas mempengerusi Mesyuarat Biro Politik UMNO di Menara Dato’ Menara Onn.
Kerusi Parlimen Port Dickson kosong apabila penyandang, Datuk Danyal Balagopal Abdullah memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di situ. – MalaysiaGazette