Langkah UMNO tidak menurunkan calonnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson 13 Oktober ini disifatkan sebagai tindakan terbaik kepada parti Melayu itu.
Bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Syed Hamid Syed Albar berkata, langkah itu selari dengan tahap kesediaan UMNO yang dilihat masih belum pulih sepenuhnya selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
“Saya fikir eloklah dia (UMNO) tak bertanding, bukan dia boikot, boikot seolah-olah kita tak puas hati, macam mana dia tak puas hati apa, dia tak sedia untuk bertanding, itu bagus.
“Saya fikir bagus kerana kalau parti yang dulunya kerajaan, belum bersedia, buang duit saja nak bertanding, tak berbaloi kalau nak bertanding kita tak bersedia lagi, tiada motivasi dan hala tuju,” katanya ketika ditemui dalam satu majlis di Kampung Baru, di sini, hari ini.