Ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Prof Dr. Jomo Kwame Sundaram

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu mengambil langkah proaktif mempromosikan bidang pelaburan baharu dan pengeluaran di tengah-tengah peningkatan konflik perdagangan global, daripada hanya menandatangani perjanjian perdagangan yang mana tidak memberikan kelebihan kepada negara, kata Pakar Ekonomi, Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram.

Jelasnya, ekonomi global sudah memasuki tempoh yang dapat dikatakan sebagai ketegangan perdagangan yang berlarutan yang berlaku disebabkan oleh tumpuan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) terhadap konflik dua hala.

“Seperti yang diketahui, hanya sedikit pertumbuhan perdagangan dalam tempoh sedekad. Begitu juga, adalah penting untuk mengenal pasti bahawa apabila terdapat masalah perdagangan, lain kerajaan, lain cara tindakannya dan terdapat kecenderungan untuk lebih mengutamakan masalah sendiri,“ kata Jomo.

Beliau berkata demikian kepada pemberita menjelang pengumuman “Laporan Perdagangan dan Pembangunan 2018: Tenaga, Platform dan Angan-Angan Perdagangan Bebas oleh Persidangan mengenai Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Conference on Trade and Development’s (UNCTAD) “Trade and Development Report 2018: Power, Platforms and the Free Trade Delusion”) di sini, hari ini.

Menurut laporan berkenaan, ekonomi dunia kekal berada di asas yang goyah sedekad selepas krisis kewangan 2008, dengan perang perdagangan menjadi gejala penyakit yang semakin mendalam.

Walaupun ekonomi global mula membuat peningkatan sejak awal 2017, pertumbuhan berterusan tidak tetap dengan banyak negara beroperasi di bawah potensi mereka, kata laporan itu dan menambah, bahawa tahun ini  tidak mungkin menyaksikan perubahan kelajuan.

Laporan itu menyatakan bahawa, sebarang peningkatan yang serius ketegangan perdagangan, mungkin, melalui ketidaktentuan yang memuncak dan pengurangan pelaburan, akan membawa kesan yang lebih merosakkan dalam jangka sederhana dan ini akan menjadi lebih serius terhadap negara yang sedia menghadapi masalah kewangan.

Jomo berkata, banyak pasaran baru muncul akan mengalami tekanan yang hebat disebabkan oleh perubahan dalam dasar monetari antarabangsa, terutama dengan aliran keluar dana ke AS apabila ia meningkatkan kadar faedah.

Rizab Persekutuan AS meningkatkan kadar faedah sebanyak dua kali tahun ini dan berkemungkinan akan melakukan buat kali ketiga sewaktu mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Kebangsaan pada 25-26 September.

“Pasaran baru muncul akan menjadi lebih terdedah kepada krisis kewangan, terutama dalam bidang yang mana harga aset melebihi nilai asas seperti hartanah melebihi nilai asas yang dibiayai oleh hutang. Justeru, pihak berkuasa perlu berhemah dan mungkin mengambil tindakan tidak popular dengan mengurangkan kelemahan kita terhadap krisis sedemikian,” kata Jomo.

Beliau menekankan perlunya untuk berhemah bagi mengelakkan potensi ke arah kemelesetan.

“Terjadinya krisis kewangan, berkemungkinan daripada punca-punca luar, akan lebih besar. Apabila kita bertindak melulu dalam menguruskan ekonomi, kita akan lebih terdedah,” jelasnya.

Jomo juga menyatakan akan perlunya kepada Malaysia untuk berfikir secara menyeluruh dan membentuk dasar yang bersesuaian dalam mengambil manfaat daripada ekonomi digital

“Kita fikir bahawa kita sudah membuat sesuatu yang bijak dengan memberikan data berharga secara percuma sebagai pertukaran kepada perkhidmatan diberikan pihak yang memonopoli digital besar. Data ini digunakan untuk meningkatkan keuntungan pemain-pemain utama.

“Kita seharusnya belajar daripada sekatan yang dikenakan Kesatuan Eropah terhadap Google dan bagaimana ia mungkin relevan kepada ekonomi seperti Malaysia,” tambahnya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast