Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

PETALING JAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bertindak membubarkan tiga kawasan parti itu serta-merta.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tiga kawasan itu iaitu Negeri Sembilan dan dua bahgian di Selangor iaitu Subang dan Ampang.

Menurut Muhyiddin, pembubaran itu dibuat ekoran berlaku banyak masalah melibatkan pemimpin yang bertindak di luar Perlembagaan.

“Keputusan bubarkan PPBM Negeri Sembilan dibuat kerana ada banyak masalah. Dulu kita hanya lantik sahaja, kemudian baru sedar ada banyak masalah.

“Kita hadapi masalah, mereka buat sidang media merendahkan parti, lakukan ‘havoc’ sewaktu mesyuarat PH. Secara asasnya, masalah itu melibatkan masalah prinsip.

“Kita bubar yang lama, tubuh yang baru. Dalam masa beberapa hari akan ada PPBM baru. Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia cadangkan kepada kita untuk bubarkan. Jadi yang ada sekarang ini bubar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media, di Ibu Pejabat PPBM, di sini hari ini.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata, PPBM melantik veteran politik, Tan Sri Rais Yatim bersama setiausaha agung PPBM, Datuk Shahruddin Md Salleh untuk membantu menggerakkan penubuhan PPBM baharu di Negeri Sembilan.

“Manakala, dua bahagian lain di Selangor iaitu Ampang dan Subang turut dibubarkan kerana ada banyak masalah.

“Mereka pandai-pandai. Jadinya, sesiapa yang ketika ini memegang jawatan, maka jawatannya lenyap,” ujarnya.

Bagaimanapun, Muhyiddin menafikan tindakan membubarkan PPBM Negeri Sembilan akan merencatkan sokongan dan bantuan yang akan diberikan parti itu kepada Anwar dalam kempen PRK Port Dickson.

“PPBM Pusat akan terlibat, tidak akan jejaskan PRK Port Dickson. Kita hadapi masalah sekarang, sebelum pilihan raya umum lagi, lebih baik kita selesaikan masalah.

“Jika ada masalah, PPBM Negeri Sembilan juga tidak boleh membantu (kempen PRK Port Dickson). Kita tunggu masa untuk redakan keadaan,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast