KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata proses peremajaan UMNO perlu dilakukan segera memandangkan ramai pemimpin parti itu bertindak meninggalkannya sejak kalah teruk kepada Pakatan Harapan (PH), Mei lalu.
Ujarnya, perubahan dalam parti perlu diberi keutamaan bagi menarik kembali minat generasi muda, dan bukan semata-mata perubahan dalam kepemimpinan parti dalam merampas kembali Putrajaya.
“Apabila mereka meninggalkan parti ini, mereka membuka ruang kepada pemimpin baru dan muda untuk kita angkat dan ketengahkan.
“Inilah masanya untuk kita buat peremajaan parti, dan saya yakin ramai rakyat di luar sana khususnya akar umbi ingin melihat peremajaan parti.
“Hari ini peremajaan parti berlaku secara organik tanpa ada paksaan, ia berlaku apabila kalangan pemimpin lama bertindak meninggalkan parti untuk bersama dengan parti kerajaan,” katanya dalam satu video hari ini.
Armand berkata demikian sehari sebelum berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO (PAU2018) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Beliau merujuk tindakan beberapa pemimpim UMNO yang bertindak keluar parti ketika parti itu menghadapi cabaran terhebat sepanjang 72 tahun ditubuhkan.
Antaranya Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman minggu lalu membuat keputusan keluar daripada parti itu.
Ia diikuti Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee yang mengambil tindakan sama pada Isnin lalu.
PAU 2018 akan membuka tirai malam ini bermula dengan perasmian serentak perhimpunan tiga sayap parti meliputi Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Esok tiga sayap parti akan bersidang serentak, diikuti PAU Ahad ini.
Seramai 5,739 perwakilan mencakupi 2,760 orang menghadiri PAU, serta 993 perwakilan hadir pada persidangan Wanita, 997 ahli Pemuda dan 989 ahli Puteri. -MalaysiaGazette