KUALA LUMPUR – Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak bersetuju dengan langkah yang diambil parti itu untuk menyaman wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang keluar parti.
Katanya, UMNO mengambil tindakan itu berdasarkan prinsip moral yang perlu dilakukan bagi mempertahankan maruah parti yang tercalar oleh perbuatan segelintir pemimpin dan wakil rakyat yang tidak berdaya tahan.
“Mereka bertanding atas tiket BN (UMNO) dan mereka menang atas dasar sokongan rakyat kepada BN dan UMNO, tetapi apabila parti kalah di peringkat nasional, mereka mahu keluar.
“Dari segi prinsip moral, ia tidak adil. Mereka menang atas tiket BN, UMNO dan apabila keluar parti, mereka patut meletakkan juga jawatan wakil rakyat atas tiket BN, UMNO,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Ucapan Dasar Presiden UMNO di Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam tadi.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasarnya dilaporkan berkata, UMNO mengambil langkah drastik menyaman wakil rakyat yang bertindak keluar parti itu dan mengubah kerusi yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) di atas tiket BN kepada bebas.
Menurut Ahmad Zahid, writ saman telah pun dihantar kepada individu terbabit.
Jelas Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, ketika bertanding wakil rakyat itu diberikan segal bantuan, sokongan dari ahli UMNO sehingga berjaya menjadi anggota Parlimen.
Antara Ahli Parlimen UMNO yang keluar parti ialah Datuk Seri Mustapa Mohamed (Jeli), Datuk Seri Anifah Aman (Kimanis), Datuk Syed Abu Hussin Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai) dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah). – MalaysiaGazette
Yb NAJIB mantan presiden umno .kini beliau ada kes dimahkamah jika terbukti kesalahan mengubah wang haram keakaun parti maka dgn automatik umno pun diharamkan