PORT DICKSON – Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Presiden Pemantau Malaysia Baharu Datuk, Lokman Noor Adam supaya mencari modal lain selain isu liwat untuk menyerang beliau.
Teguran calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil Port Dickson itu menyusul selepas Lokman dalam status Facebook mendakwa bakal perdana menteri itu sedang disiasat polis Singapura kerana terlibat dalam kes liwat di republik itu.
Menurut Anwar, beliau tidak peduli atau mengambil serius tuduhan ahli Majlis Tertinggi UMNO itu sebaliknya mahu memberi fokus meneruskan kerja dan kempen beliau mendekati rakyat pengundi untuk mendapatkaan mandat mereka.
“Sudah 20 tahun lalu saya hadapi situasi fitnah ini.. sudah sudahlah Lokman. saya bagi nasihat sudahlah tu. cari modal lain,” kata dalam sidang media di Pusat Bilik Gerakan Pakatan Harapan PRK di Waterfront di sini.
Tambah bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, beliau mengambil pendirian tetap untuk tidak melayan fitnah sebegini dari individu seperti Lokman selepas ini.
Katanya, beliau mahu fokus menggerakkan jentera PRK untuk memenangi kerusi Parlimen berkenaan pada 13 Oktober ini.
“Saya sebenarnya malas nak fikirkan isu sebegini. Sumber (Mediacorp Singapura) itu sudah nafi (insiden liwat).
“Kalau orang itu ada adab dan akhlak, kalau sudah sudah nafi, dia (Lokman) perlu minta maaf.
“Sudah berapa kali dia sudah minta maaf dah macam P.Ramlee, Maafkan kami, berapa kali dah., Maaf dia buat lagi..maaf dia buat lagi juga,” tegasnya sambil tersenyum ringkas sebagai tanda menolak fitnah itu.
Lokman sebelum ini memetik sumber Berita Mediacorp Sg mengenai laporan kononnya seorang penuntut warga Indonesia membuat laporan polis seleps diliwat oleh suami kepada Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
Berita Mediacorp Sg. kemudian menafikan laporan tersebut. – MalaysiaGazette