Myvi, model terlaris Perodua.

KUALA LUMPUR – Perodua masih belum dapat memberi tempoh masa penghantaran yang penuh bagi tempahan 22,000 buah Myvi belum diserahkan setakat akhir bulan September lalu.

Bagaimanapun, Perodua kini menumpukan usaha mengurangkan tempoh meunggu kepada jangka masa yang lebih wajar.

“Tenaga kerja di bahagian pengeluaran telah memulakan pengeluarannya dan seterusnya proses penghantaran akan bermula tidak lama lagi.

“Di sebalik isu yang tidak diingini ini, kami amat bersyukur kerana rakyat Malaysia
masih terus menyokong Perodua. Kami ingin memohon maaf kepada para pelanggan yang terjejas kerana terpaksa menunggu,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.

Antara bulan Januari dan September tahun ini, Perodua telah menjual 168,200 kenderaan – kenaikan 11 peratus ke atas 151,600 kenderaan yang dijual dalam tempoh yang sama pada tahun 2017.

“Kenaikan jualan ini boleh dikaitkan dengan sambutan positif untuk Perodua Myvi yang baharu serta model-model kami yang lain – Axia, Bezza dan Alza – yang masing-masing terjual sebanyak 53,700, 38,100 dan 18,400 unit pada tahun ini setakat ini,” kata Aminar.

Perodua hanya menjual kira-kira 9,500 buah kenderaan keseluruhannya pada bulan September lalu berikutan pengeluaran Myvi yang terpaksa dihentikan bermula daripada bulan Ogos disebabkan isu teknikal di salah satu vendornya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast