SEPANG – Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei memberitahu beliau akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat ini.
Beliau memaklumkan perkara itu apabila membalas pesanan aplikasi WhatsApp kepada salah seorang pihak media yang sedang menunggu ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
“Saya berharap pihak media tidak menunggu kerana saya memerlukan rehat.
“Saya akan mengadakan sidang media dalam beberapa hari lagi,” balasnya ringkas.
Pihak media mula menunggu kepulangan Chong Wei sejak pukul 10 pagi selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) semalam mengesahkan pemain berusia 36 tahun itu akan pulang ke tanah air dari Taiwan, hari ini.
Selain itu, terdapat pihak media yang menunggu bekas pemain nombor satu dunia itu di KLIA2 dan Subang Skypark, Subang sejak awal pagi.
Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette mendapati dua penerbangan dari Taipei pukul 11 pagi dan 2 petang tidak kelihatan kelibat Chong Wei dan ahli keluarga.
Menerusi maklumat di skrin ketibaan pesawat, terdapat tiga lagi penerbangan dari Taipei pada petang dan malam ini.
Bulan lalu, BAM mengesahkan Chong Wei menghidap kanser hidung tahap awal yang memaksa pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu terpaksa menggantung raket sejak Julai lalu, selain turut terlepas aksi Kejohanan Dunia dan Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018. – MalaysiaGazette