KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila dilihat bertegang urat dengan beberapa penduduk kampung.

Perkara itu terjadi apabila Norhizam cuba mempertahankan keputusannya menutup sebatang jalan di sebuah taman yang sering digunakan oleh penduduk kampung bersebelahan.

Menerusi sebuah video yang tular, Timbalan Pengerusi DAP Melaka itu dalam nada terjerit-jerit meminta beberapa penduduk kampung menghormati keputusannya menutup jalan berkenaan bagi mengelak insiden tidak diingini berlaku kepada penduduk taman terutamanya mereka yang tinggal berhampiran dengan jalan itu.

Video berdurasi 3.26 saat itu menunjukkan Norhizam yang pada mulanya hendak mengadakan satu sidang media telah didatangi beberapa penduduk dipercayai dari kampung bersebelahan ekoran tidak berpuas hati kerana jalan yang sering digunakan untuk ke masjid hendak ditutup.

Bagaimanapun, video tersebut tidak menunjukkan jalan yang dikatakan hendak ditutup itu.

Berdasarkan perbualan antara Norhizam dengan penduduk terbabit beberapa perkara yang disebut olehnya telah membangkitkan kemarahan individu di dalam video itu.

“Saya tak nak cakap dengan orang yang takde sekolah.

“Saya kenal awak Mat Derus. Awak orang UMNO saya kenal. Saya kenal awak siapa. Nak bercakap dengan saya cakap baik-baik. Ini cara bercakap macam orang UMNO,” katanya yang kemudian dijawab oleh lelaki itu, apa yang berlaku jangan dikaitkan dengan parti.

Menurut Norhizam lagi, penduduk kampung tidak perlu untuk mempertikai keputusannya menutup jalan tersebut kerana mereka boleh menggunakan jalan utama yang baru sahaja diturap dengan menggunakan peruntukan kerajaan sebanyak RM120,000.

“Kalau nak pergi masjid jangan jadikan alasan. Kalau nak pergi masjid jalan kaki pun boleh. Nawaitu kita baik, faham tak,” ujarnya.

Dalam video itu turut kelihatan sorang wanita yang mengharapkan agar Norhizam sebagai wakil rakyat membela nasib mereka.

Namun, Norhizam yang juga Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri tetap dengan keputusannya untuk menutup jalan kerana mahu memenuhi permintaan penduduk taman perumahan berkenaan yang menggesa agar jalan tersebut ditutup.

Sebelum ini, sebuah video menunjukkan aksi Norhizam berkelakuan sama turut tular di laman sosial dan mendapat pelbagai kritikan daripada netizen.

Video tersebut memaparkan Norhizam memarahi seorang pemuda yang didakwa menceroboh tanah kerajaan dengan mendirikan kabin untuk dijadikan stor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast