KENINGAU – Calon Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) 2018 Raymond Ahuar yang cuba dikaitkan dengan klip video skandal seks dengan wanita Indonesia berkata dakwaan dalam klip video itu adalah fitnah dan berbentuk konspirasi politik untuk menjatuhkannya.
Raymond yang juga Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew berkata, beliau telah membuat laporan polis mengenai dakwaan itu pada 5 Okt dan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk membuat siasatan.
“Sayalah lelaki yang difitnah dan dianiaya oleh orang yang berniat buruk kepada saya,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Klip video itu memaparkan dua wanita yang mengenalkan diri sebagai Linda dan Welda, mendakwa telah dirogol dan klip video berkenaan tersebar termasuk dalam sebuah portal berita di Sabah.
Raymond berkata, beliau telah membuat laporan polis mengenai dakwaan itu pada 5 Okt lalu dan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk membuat siasatan.
“Saya tidak kenal pun dua wanita itu… tidak pernah jumpa pun dan saya mahu polis menyiasat siapa mereka (dua wanita Indonesia) itu dan orang di belakang tabir yang menyusun semua ini. Saya akui semua ini bermotif politk yang bertujuan untuk mencalar nama baik saya,” katanya.
Sementara itu, di KOTA KINABALU, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah mengesahkan Raymond bukan individu yang terlibat dalam kes rogol dua wanita warga Indonesia seperti yang didakwa klip video berkenaan.
Omar berkata pada 26 Sept lalu pihaknya menahan seorang suspek warga tempatan berumur 31 tahun yang bekerja sendiri di Keningau susulan satu laporan mengenai kes rogol pada 25 Sept lepas.
Menurutnya laporan polis dibuat oleh kedua-dua wanita yang berumur 23 dan 36 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau pada 25 Sept lepas, manakala Raymond membuat laporan polis mengenai penyebaran video klip yang berkaitan dengan kes itu Jumaat lepas.
“Kita minta kepada semua pihak supaya tidak menyebar berita tidak betul, dan hentikan sebarang spekulasi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sini hari ini.
— BERNAMA