KUALA LUMPUR – Dr Maszlee Malik menempelak media dan pihak-pihak yang mengkritiknya apabila mendakwa beliau lebih suka bercakap soal picisan berbanding perkara penting tentang pendidikan.
Semalam, Menteri Pendidikan itu dikritik netizen apabila beliau memaklumkan kementerian tersebut sedang mengkaji warna stokin sekolah.
Sebelum ini, Maszlee mengumumkan para pelajar sekolah dibenarkan memakai kasut warna hitam mulai tahun depan sebelum ia dikuatkuasakan pada tahun 2021.
Majoriti netizen beranggapan isu warna stokin itu terlalu remeh untuk diperkatakan oleh individu yang bergelar Menteri dan kerajaan Pakatan Harapan.
Menjawab kritikan yang dilemparkan, Maszlee menerusi Twitternya berkata: “Saya bercakap perkara trivia kurang satu minit Utusan Malaysia laporkan, DS Najib pun berminat. Saya bincang perkara penting tentang hospital universiti tak ada yang nak sensasikan?”.
Meskipun begitu, Maszlee mempertahankan kenyataan berhubung warna stokin sekolah.
“Isu ini mungkin remeh bagi sesetengah orang, tapi penting bagi sebahagian yang lain. Saya hargai semua input…Keprihatinan semua – ibu bapa, industri dan semua pemegang taruh akan dipertimbangkan dengan baik,” katanya lagi.
Biarpun, kenyataan Maszlee itu seolah-olah mahu menyalah media, tetapi ada netizen berkata, Menteri itu perlu bijak melantik Setiausaha Akhbar yang tahu mengenai media.
Malah, ada netizen berkata, media tidak tersalah petik kenyataan Maszlee kerana media tahu apa yang pembaca suka baca.
Ada juga individu yang mengingatkan Maszlee supaya bijak dan berfikir panjang apabila mengeluarkan kenyataan.
Bukan sahaja netizen, kenyataan Maszlee turut mendapat perhatian Datuk Seri Najib Razak yang berkata, Menteri Pendidikan itu berpandangan jauh.
“Saya tidak faham mengapa ada yang mengkritik dia. Warna kasut dan stokin sebenarnya penting dalam perkembangan dan pembentukan pelajar yang sempurna,” katanya yang turut berharap Maszlee akan mengkaji warna baju, warna bangunan dan sekolah juga.
Seorang penulis blog politik pro Pakatan Harapan (PH), Shabudin Husin pula mahu Tun Mahathir Mohamad membuang Maszlee Malik dari kabinet.
Katanya, agak malang bagi Pakatan Harapan ada Menteri Pendidikan yang suka bercakap soal remeh-temeh dan picisan seperti kasut dan stokin sahaja. – MalaysiaGazette