KUALA LUMPUR – Penyanyi yang menghidap kanser, Elyana akan menjalani rawatan radioterapi buat pertama di sebuah hospital dis ini bermula hari ini.
Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 31, memberitahu, rawatan itu perlu dibuat kerana doktor telah mengesan barah limfomanya di sekitar saraf tunjangnya.
“Doktor sudah berjumpa saya dan sekejap lagi saya akan mulakan sesi rawatan radioterapi.
“Ini kali pertama saya menjalani rawatan ini, tak pernah lagi sebab selama ini saya hanya buat kimoterapi.
“Doktor cakap saya punya lymph nodes dah ada kat saraf tunjang, kalau saya tak buat apa-apa boleh menyebabkan lumpuh,” katanya menerusi video Insta Story di Instagram miliknya hari ini.
Ibu kepada seorang anak itu bakal menjalani 10 kali sesi rawatan radioterapi.
Rawatan tersebut adalah terapi sinaran di mana satu kaedah perubatan untuk merawat dan mengawal sel-sel barah.
Tahun lalu, penyanyi lagu Tak Tercapai Akalmu mengejutkan peminatnya apabila dia mengumumkan menghidap kanser tahap empat ketika membuat ucapan selepas tersingkir daripada meneruskan pertandingan program Gegar Vaganza musim keempat.
Elyana berkata, dia disahkan menghidap kanser limfoma sejak tujuh tahun lalu dan pernah menjalani kemoterapi antara 5 hingga 7 kali sejak 2014. – MalaysiaGazette