ALOR SETAR – Seorang anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah yang berjawatan tinggi dalam parti direman seminggu bermula hari ini untuk membantu siasatan berhubung dakwaan terbabit dalam politik wang pada pemilihan parti itu.
Perintah tahanan reman ke atas suspek berusia 59 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Alor Setar Jamaluddin Elias selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat kes itu di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Menurut sumber, suspek berkenaan dikatakan telah meminta RM20,000 daripada pengadu bagi membolehkan pengadu bertanding jawatan Ketua Cabang di Kedah pada pemilihan PKR kali ini.
Suspek yang pernah bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditahan pada 4.10 petang semalam selepas menyerah diri di Pejabat SPRM negeri.
Terdahulu ketika dibawa ke lokap mahkamah, suspek ada memberitahu media dia menjadi mangsa keadaan dan mendakwa ada pihak cuba menghancurkan karier politiknya.
Difahamkan suspek yang juga seorang ahli perniagaan akan bertanding pada pemilihan parti di Kedah yang akan berlangsung esok dan lusa.
— BERNAMA