KUALA LUMPUR – Lebih 21,000 orang menyokong petisyen membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Jumlah itu terkumpul dalam tempoh 24 jam ia diviralkan kepada orang ramai yang tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menghapuskan hak istimewa orang Melayu menerusi langkah-langkah yang diambil oleh seorang menteri bukan beragama Islam.
Menurut peguam, Lukman Sheriff, beliau mengagumi keprihatinan rakyat negara ini mengenai isu yang begitu penting itu, selain sanggup bersamanya membantah cubaan kerajaan untuk mencabar hak orang Melayu.
Katanya, berikutan sokongan di luar jangkaan itu, beliau bercadang akan membawa petisyen itu kepada pihak berkuasa seperti sultan dan pemerintah.
“Saya juga dipanggil oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menjelaskan isu tersebut dan insya-Allah akan menerangkannya.
“Apabila jumlah ini misalnya mula berhenti meningkat seperti mencecah 100,000 sokongan, saya boleh nyatakan bahawa ini adalah bantahan 100,000 orang terhadap ICERD.
“Saya harap rakyat akan terus memahami isu ini dan menyokongnya. Saya akan melakukan posting FAQ untuk menjawab soalan umum,” katanya menerusi kenyataan yang dimuatnaik dalam akaun Facebooknya.
Berikut adalah petisyen yang dipaparkan menerusi medium sosial untuk mendapatkan sokongan pelbagai lapisan masyarakat di negara ini;
“ICERD adalah salah satu Konvensyen Antarabangsa Hak Asasi Manusia yang telah berkuatkuasa dari tahun 1969. Malaysia tidak pernah menandatanganinya apalagi meratifikasinya.
Apakah implikasi meratifikasikan ICERD?
Mengikut ICERD, negara yang meratifikasinya hendaklah menghapuskan segala bentuk diskriminasi bangsa/kaum (racial diskrimination). Negara tersebut tidak boleh langsung ada undang-undang yang mendiskriminasi mana-mana kaum dan bangsa.
Takrif diskriminasi kaum di bawah ICERD adalah amat luas. Artikel 1 mendefinasikan “racial discrimination” sebagai “any distinction, exclusion, restriction or preference based on race, colour, descent, or national or ethnic origin which has the purpose or effect of nullifying or impairing the recognition, enjoyment or exercise, on an equal footing, of human rights and fundamental freedoms in the political, economic, social, cultural or any other field of public life.
Definasi dan skop ICERD dengan itu bertentangan dengan Artikel 153 Perlembagaan Malaysia. Artikel 153 memberi kedudukan istimewa kepada orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak dalam beberapa perkara yang akan bercanggah dengan definasi tersebut. Maka sekiranya ICERD diratifikasikan:
MARA hendaklah ditutup
MRSM hendaklah ditutup
UiTM ditutup
Rizab Tanah Melayu hendaklah dihapuskan.
Askar Regimen Melayu merupakan satu diskriminasi.
Biasiswa untuk Bumiputera hendaklah dihapuskan.
Diskaun rumah Bumiputera hendaklah dihapuskan.
Syarat Bumiputera dalam tender dan lesen perniagaan hendakalah dihapuskan.
(kecualilah yang di atas dipinda selain dari tujuan asalnya.)
Mengikut Artikel 5 ICERD, negara yang meratifikasinya hendaklah menghapuskan segala bentuk diskriminasi dalam pelaksanaan hak politik (“Political Rights”). Ini bermakna parti politik berdasarkan kaum atau bangsa adalah salah dan perlu dihapuskan di bawah ICERD kerana ia mendiskriminasi ahlinya mengikut kaum. Sebagai contoh KOMAS, sebuah NGO Hak Asasi Manusia terkemuka yang mempelopori ratifikasi ICERD dan juga ahli Comanggo, telah menyenaraikan penubuhan PPBM sebagai satu insiden “racial discrimination” di dalam laporan “Malaysian Racial Discrimination Report 2016”.
Berdasarkan di atas, adalah jelas ICERD bercanggah dengan peruntukan perlembagaan dan tidak boleh diratifikasikan. Kalaupun mahu diratifikasikan, Artikel 153 hendaklah dipinda terlebih dahulu. Persetujuan Majlis Raja-Raja juga mesti diperolehi dan tidak boleh dibelakangkan. Konvensyen ini tidak boleh dijaja sebagai alasan untuk memaksa kita meminda Perlembagaan dan Raja-Raja memberi persetujuan.
Adakah Artikel 153 boleh dikecualikan daripada ICERD?
Jerald Joseph, Ahli Lembaga Pengarah KOMAS, Pesuruhjaya Suhakam dan ahli “Consultative Council on Foreign Policy” yang baru ditubuhkan oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah menyatakan bahawa Artikel 153 termasuk di bawah pengecualian ICERD.
Pengecualian di bawah ICERD adalah termaktub di bawah Artikel 1 yang menyatakan seperti berikut:
“Special measures taken for the sole purpose of securing adequate advancement of certain racial or ethnic groups or individuals requiring such protection as may be necessary in order to ensure such groups or individuals equal enjoyment or exercise of human rights and fundamental freedoms shall not be deemed racial discrimination, provided, however, that such measures do not, as a consequence, lead to the maintenance of separate rights for different racial group sand that they shall not be continued after the objectives for which they were taken have been achieved.”
Mengikut pengecualian di atas, adalah bukan diskriminasi sekiranya menepati ciri tersebut:
1) diskriminasi adalah untuk memastikan kumpulan tersebut menikmati hak asasi yang sama
2) tidak menimbulkan hak berlainan bagi bangsa yang berlainan
3) ia dihentikan sekira objektifnya tercapai.
Jadi kalau kita ambil contoh MARA dan Tanah Simpanan Melayu (Malay Reserve Land) (“TSM”), adakah ia untuk memastikan bangsa Melayu dan Bumiputera menikmati hak asasi pendidikan dan pemilikan tanah yang sama dengan yang lain? Perlukah MARA dan TSM wujud supaya orang Melayu atau Bumiputera mendapat hak pendidikan dan pemilikan tanah? Bukankah MARA dan TSM akan menimbulkan hak berlainan yang memihak bangsa Melayu dan Bumiputera? Apakah termaktub objektif di bawah Artikel 153 dan undang-undang sedia ada berkenaan MARA dan Tanah Simpanan Melayu di mana ia hendaklah dihentikan setelah mencapai objektifnya?
Jelas jawapannya tidak menepati ciri-ciri pengecualian tersebut. Maka Artikel 153 akan ditakrif sebagai “racial discrimination” dan perlu dihapuskan mengikut ICERD.
Lagipun Artikel 20 ICERD melarang pengecualian ataupun “reservation” yang bercanggah dengan objektif dan tujuan ICERD. Malaysia bukan sahaja memerlukan pengecualian bahagian definisi, tetapi lebih separuh daripada peruntukan teras ICERD. Ini adalah bertentangan dengan tujuan ICERD dan boleh dibantah oleh negara lain.
Seperkara lagi adalah pendirian tidak konsisten mereka yang meyokong pengecualian dan membantah diskriminasi kaum. Sebagai contoh, KOMAS dalam laporan tahunan “Malaysian Racial Discrimination” telah mengklasifikasikan mana-mana pihak termasuk YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin (Laporan 2015) yang mempertahankan hak Melayu/Bumiputera sebagai satu perlakuan diskriminasi kaum (“racial discrimination).
Tetapi apabila mengkehendakkan pengratifikasian ICERD berhujah sebaliknya bahawa Artikel 153 dikecualikan mengikut peruntukan ICERD. Kalau kita lihat Artikel ICERD tersebut, dengan nyata mengatakan pengecualian di bawahnya tidak boleh dianggap sebagai satu diskriminasi kaum. Mereka sebenarnya berhujah bahawa satu perbuatan itu adalah diskriminasi dan bukan diskriminasi pada masa yang sama. Adalah jelas pendirian dan hujah mereka bercanggah, tidak konsisten dan tidak jujur (disingenuous).
Bantahan
Oleh itu, kami membantah/menolak sekeras-kerasnya ratifikasi ICERD kerana bercanggah dengan Perlembagaan dan menghapuskan institusi MARA, MRSM, UITM dan sebagainya. Perundingan awam perlu dilakukan dengan segera dan perkenan Majlis Raja-Raja perlu diperolehi. Raja-Raja tidak boleh dibelakangkan. Artikel 153 perlu dipinda sebelum ratifikasi ICERD boleh dilakukan.” – MalaysiaGazette