KUALA LUMPUR – Polis Bahagian Anti Keganasan Cawangan Khas, berjaya menangkap lima suspek disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas antara 13 hingga 23 Oktober lalu.
Kesemua suspek berusia antara 31 hingga 50 tahun ditahan dalam satu operasi berasingan di ibu negara, Selangor, Perak dan Sabah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata dua daripada suspek itu adalah warganegara tempatan manakala tiga warga Mesir, Pakistan dan negara Timur Tengah.
Katanya, suspek pertama lelaki warga Mesir berusia 50 tahun yang bekerja sebagai Pengurus Eksekutif di sebuah syarikat swasta di ibu negara dicekup pada 13 Oktober lalu.
“Suspek dikenalpasti bekas anggota pengganas Al-Qaeda semasa berada di Afghanistan dari tahun 1988 hingga 1993 dan pernah berjumpa pengasas kumpulan itu, Osama bin Laden.
“Suspek mengakui menyeludup masuk ke Kanada, Azerbaijan dan Pakistan menggunakan pasport palsu dan pernah ditangkap dan dipenjara di Kanada dan Mesir atas kesalahan terlibat dalam aktiviti keganasan.
“Suspek kedua lelaki warga Timur Tengah berumur 31 tahun ditangkap pada 20 Oktober lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana disyaki terlibat dalam kes ugutan bunuh terhadap diplomat asing di ibu negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, suspek ketiga adalah warga Pakistan berusia 31 tahun dan bekerja sebagai buruh kasar ditangkap pada 25 Oktober lalu di Sitiawan Perak dan didapati terlibat kumpulan pengganas Lashkar-E-Taiba berpengkalan di sebuah negara di Asia Selatan dan telah menyeludup masuk ke Malaysia sejak Ogos 2016.
Menurutnya, suspek pernah menjalani latihan ketenteraan di kem Lashkar -E-Taiba.
“Manakala suspek keempat pula seorang warga tempatan bekerja di syarikat swasta dan berusia 32 tahun ditangkap di Gombak pada 25 Oktober lepas kerana disyaki menyalurkan dana kepada Muhammad Wanndy Mohamed Jedi antara 2014 hingga 2017 bagi tujuan membiayai aktiviti keganasan.
“Dan akhirnya suspek kelima yang juga warga tempatan dicekup pada 26 Oktober lalu di Kota Kinabalu Sabah berusia 40 tahun dan bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi.
“Dia juga disyaki terlibat menyalurkan dana kepada Muhammad Wanndy dan Muhamad Fudhail Omar serta kumpulan Abu Sayyaf di selatan Filipina di antara tahun 2015 hingga 2018 bertujuan membiayai aktiviti keganasan,” ujarnya.
Menurut Mohamad Fuzi, empat suspek berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA Kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).
“Manakala seorang lagi suspek ditangkap dibawah Akta Imigresen 1959/1963,” tegasnya. – MalaysiaGazette