KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong tidak memakai pakaian menyerupai tentera komunis.
Sebaliknya, pakaian yang dipakai oleh Chin Tong ketika membuat kawalan kuarters di Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat di Kuching pada Jumaat lepas adalah baju korporat rasmi (bush jacket) yang disediakan oleh Mindef kepada Menteri dan Timbalan Menteri Pertahanan.
Kenyataan Mindef memberitahu, tuduhan terhadap Chin Tong kononnya beliau dengan sengaja memakai pakaian menyerupai tentera komunis adalah bersifat tidak benar.
Katanya, pakaian itu disediakan oleh Mindef untuk dipakai oleh menteri dan timbalan menteri ketika melakukan lawatan kerja khususnya melibatkan kunjungan ke markas formasi dan kem-kem.
“Ianya juga sebagai mematuhi arahan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu bahawa pakaian seragam tentera tidak boleh dipakai oleh orang awam dan hanya boleh dipakai oleh anggota tentera sahaja yang telah melalui fasa latihan ketenteraan,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, tular di laman sosial apabila Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah memuat naik posting mendakwa Chin Tong sengaja memakai pakaian ala komunis ketika melakukan pemeriksaan kawalan kehormat.
Gambar yang dimuat naik Azwanddin itu telah mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Berikutan terdapat komen-komen negatif, Mindef tampil memberikan penjelasan. – MalaysiaGazette