KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Belanjawan 2019 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini tidak banyak menyentuh keperluan rakyat.
Malah katanya, janji yang ditawarkan oleh Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) lalu lagi baik daripada apa yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan (PH).
“Walaupun bajet ini lebih besar dari tahun lepas tak banyak touch point untuk rakyat.
“Sebagai contoh, bantuan sara hidup jauh lebih kurang daripada BR1M yang kita janjikan. Kalau BN menang kira janjikan RM2,000. Paling banyak dibawah PH adalah RM1, 400 sahaja.
“Banyak touch point yang tidak diumumkan pada hari ini atau langsung tidak ada,” katanya di lobi Parlimen petang tadi.
Malah menurut bekas Menteri Belia dan Sukan itu, apa yang ditawarkan dalam bajet alternatif BN semalam lebih menjurus kepada semua lapisan masyarakat.
“Berbeza dengan dokumen inisiatif ekonomi rakyat dari BN yang kita bentangkan semalam, banyak menyentuh semua segmen dimana tidak ada satu pun segmen yang ketinggalan.
“Walaupun ada langkah yang positif, saya tidak nafikan bahawa ada beberapa pengumuman yang baik. Tiga perkara yang tidak ada pengumuman dan strategi besar untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi, dan banyak benda yang disambung daripada projek BN,” katanya lagi.
Rata-rata Bajet 2019 lebih fokus kepada cara untuk kerajaan menangani hutang dan liabiliti sebenar kerajaan.
Difahamkan, hutang sehingga akhir Jun 2018 adalah RM1,065 bilion iaitu hampir RM350 bilion lebih tinggi daripada jumlah yang didedahkan secara rasmi oleh Kerajaan terdahulu. -MalaysiaGazette