KUALA LUMPUR – Pertumbuhan permintaan domestik dijangka kekal berdaya tahan iaitu 5.0 peratus pada tahun ini dan 4.8 peratus pada tahun depan.
Perkembangan ini dipacu oleh perbelanjaan sektor swasta yang mampan 6.5 peratus pada 2018 dan 6.4 peratus pada 2019 yang merangkumi 72 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menurut Tinjauan Ekonomi 2019.
Perbelanjaan sektor awam menyusut 0.9 peratus pada 2019 selepas mencatat pertumbuhan secara marginal 0.1 peratus pada 2018 disebabkan pelaburan syarikat swasta yang lebih rendah.
Pada tahun ini, penggunaan swasta kekal sebagai peneraju utama pertumbuhan dan dijangka berkembang 7.2 peratus – disokong oleh pasaran buruh yang stabil, inflasi yang sederhana dan persekitaran pembiayaan yang kondusif.
Faktor lain seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berkadar sifar, subsidi harga minyak di pam, pilihan raya umum, musim Piala Dunia FIFA dan penamatan kutipan tol di dua lebuh raya menggalakkan lagi perbelanjaan isi rumah.
Pada tahun 2019, penggunaan swasta diunjur berkembang 6.8 peratus hasil daripada pendapatan isi rumah yang lebih tinggi berikutan prospek pekerjaan yang lebih baik, peningkatan kadar gaji minimum, harga komoditi yang stabil dan persekitaran pembiayaan yang akomodatif.
Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) serta aktiviti promosi Melawat Malaysia 2020 dijangka meningkatkan lagi perbelanjaan pengguna.
Pelaburan swasta dijangka mencatat pertumbuhan lebih tinggi 5 peratus disumbangkan oleh perbelanjaan modal dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan yang berintensifkan teknologi pada tahun depan.
Seiring dengan peralihan Malaysia kepada Revolusi Industri 4.0, pelaburan akan tertumpu dalam indystri pemangkin termasuk Internet of Things, perisian, elektronik yang canggih, jentera pintar automasi dan robotik, kenderaan automasi berpandu, aeroangkasa dan peranti perubatan.
Pelaburan awam dijangka menyusut 1.5 peratus pada 2018 dan 5.4 peratus pada 2019 dipacu oleh perbelanjaan modal syarikat awam yang lebih rendah.
Bagaimanapun, pembentukan modal Kerajaan Persekutuan yang mampan dijangka terus menyokong pertumbuhan pelaburan awam secara keseluruhan. – MalaysiaGazette