BANGKOK – Setelah lebih tiga tahun melarikan diri, seorang lelaki Pakistan yang disyaki memberi perlindungan kepada ketua kumpulan pengganas Khalistan Tiger Force dari Punjab, India , Jagtar Singh Tara, akhirnya berjaya ditahan di wilayah selatan Thailand.
Jagtar Singh disabitkan atas kesalahan membunuh bekas Ketua Menteri Punjab, Beant Singh, pada 1995.
Polis Thailand, dengan kerjasama rakan sejawatan mereka dari India, mengesan kehadiran suspek, Khalat Bari, 52, di sebuah kedai di Pattaya dan memberkasnya Isnin lalu.
“Namanya terdapat dalam senarai orang dikehendaki polis India dan dikenakan waran tangkap kerana dituduh terlibat dengan keganasan serta memberi bantuan kepada pengganas,” kata Pemangku Ketua Polis Imigresen Thailand, Mej Jen Surachet Hakpal, di sini hari ini.
Menurut Surachet, lelaki Pakistan itu akan dibawa keluar dari negara ini sebaik sahaja polis Thailand selesai mengurus prosedur berkaitan undang-undang, tetapi beliau tidak menyatakan ke negara mana dia akan dihantar.-BERNAMA