Beras organik yang dipanggil Xiǎomǐ siap diproses di Ning, Gansu, China. foto HAZROL ZAINAL, 27 OKTOBER 2018.

LEKA mata melihat dua gadis putih mulus dengan penuh sopan menghidangkan makanan di atas meja bulat yang memuatkan 20 orang.

Lepas satu – satu makanan dibawa masuk dalam bilik makan di sebuah hotel di Gansu, Xi’an, sehingga penuh buatan besar kaca di atas meja.

Dua biji gelas diletakkan di hadapan setiap tetamu. Satu dituangnya dengan susu segar. Satu lagi gelas tetamu boleh pilih pelbagai perisa teh. Ada teh hijau, hitam, krisantemum dan bunga-bungaan.

WhatsApp Image 2018-11-04 at 1.06.34 PM
Sayur bende digoreng dengan kicap.

Belum pun sempat menyentuh satu hidangan, gadis-gadis itu datang semula membawa sup kambing yang diletakkan tepi pinggan. Setiap orang dapat semangkuk. Itu baharu sup pertama.

Secara tradisinya, hidangan sup adalah menu wajib kerana penduduk China, meskipun berlainan wilayah, penduduknya gemar menghirup sup atau bubur nasi panas, selain mee tarik yang juga berkuah.

WhatsApp Image 2018-11-04 at 1.06.36 PM
Roti gulung

Penulis dan rakan-rakan terkedu melihat hidangan berwarna-warni di atas meja. Ada karot, labu dan jagung yang direbus, hirisan bawang besar bersama cili hijau, pelbagai sayur-sayuran digoreng, pau dan roti serta cakoi.

Belum pun menjamah, terasa senak perut melihat banyaknya makanan di depan mata.

WhatsApp Image 2018-11-04 at 1.06.35 PM
Hidangan ikan dan daging kambing.

Penulis dimaklumkan oleh Wan Najib Wan Daud, yang bertindak sebagai penyelaras dalam lawatan media sempena pembukaan kilang Qicheng Derui Group Ltd, di Gansu, senario itu adalah amalan orang China menyambut tetamu mereka.

WhatsApp Image 2018-11-04 at 12.24.57 PMOrang China begitu menghargai tetamu mereka. Lantaran itu, layanan berkenaan adalah satu kemestian bagi mereka.

Riuh-rendah mulut kami memberi ulasan setiap menu. Setiap orang akan memberi ulasan makanan yang dijamah bagi memudahkan rakan-rakaan lain memilih.

Biarpun menunya simple tetapi bahan-bahan yang digunakan cukup segar.

WhatsApp Image 2018-11-04 at 1.06.30 PM
Roti goreng

Penulis paling suka labu dan jagung rebus. Selain rasanya manis dan direbus lembut, makanan itu sahaja yang boleh dimakan pada waktu pagi memandangkan hidangan lain menggunakan herba dan rempah-rempah yang sukar diterima tekak.

Semagkuk kecil bubur nasi yang dihidangkan juga tidak kurang enak. Bubur kosong itu rasanya tawar tetapi keunikan beras yang digunakan menjadikan rasanya berbeza daripada bubur beras biasa.

MGF27102018_BERAS Xiǎomǐ CINA06
Beginilah rupa beras organik yang dipanggil Xiǎomǐ sebelum diproses di Ning, Gansu, China. foto HAZROL ZAINAL, 27 OKTOBER 2018.

Menurut Chen wakil dari syarikat Qicheng yang menemani rombongan media, bubur itu menggunakan beras kecil yang hanya ada di China, terutama di Gansu.

Saiz beras itu seperti biji sawi dan berwarna kuning keemasan. Apabila dimasak, bubur itu menjadi kuning.

Melihat keterujaan penulis untuk mengetahui asal usul beras organik yang dipanggil Xiaomi, Chen telah membawa rombongan kami ke kilang memproses beras tersebut.

MGF27102018_BERAS Xiǎomǐ CINA02
Seorang pekerja sedang melakukan kerja-kerja memproses beras organik yang dipanggil Xiǎomǐ di sebuah kilang di Ning, Gansu, China. foto HAZROL ZAINAL, 27 OKTOBER 2018.

Terletak di dalam kawasan Koridor Hexi, – kilang tersebut juga dikelilingi dengan ladang-ladang jagung, epal dan ubi kentang serta tebu dan kekacang.

Walaupun untuk memasuki kawasan itu agak mencabar kerana jalan berliku-liku dengan cara pemanduan yang ‘menggegar jantung’ tetapi mata terpegun dengan keindahan perkampungan semula jadi itu.

Perkampungan petani di situ tersusun, bersih dan keindahan sekeliling bagaikan sebuah pemandangan di atas kanvas.

MGF27102018_BERAS Xiǎomǐ CINA04
Beras organik yang dipanggil Xiǎomǐ siap diproses di Ning, Gansu, China. foto HAZROL ZAINAL, 27 OKTOBER 2018.

Kediaman petani di situ bercampur-campur – ada yang moden dengan berpagar batu tinggi.

Dan ada juga kediaman tradisional dengan dinding diperbuat daripada tanah liat.

Ketika rombongan kami tiba di sana, kebanyakan petani sedang membersihkan ladang-ladang jagung dan ada juga membakar daun-daun kering.

Sekitar kawasan ladang itu berwarna kuning kerana pokok-pokok layu kerana petani sudah selesai menuai hasil tanaman.

Sayangnya, penulis tidak dapat berkongsi pemandangan yang sangat mengasyikkan kerana pemandu yang membawa kami tidak faham bahasa Inggeris, menyukarkan komunikasi antara kami.

MGF27102018_BERAS Xiǎomǐ CINA08
Seorang pekerja, Li Heng Choun menunjukkan longgokan beras organik Xiǎomǐ yang telah siap diproses di Ning, Gansu, China. foto HAZROL ZAINAL, 27 OKTOBER 2018.

Berbalik kepada cerita beras tersebut, pemilik kilang beras, Li Heng Choun memberitahu, beras organik itu sudah ditanam secara turun-temurun sejak 600 tahun lalu.

Katanya, beras itu adalah makanan terawal di China.

Ia mula ditanam setiap bulan Mei ketika musim panas dan dituai pada bulan Oktober sebelum tibanya musim sejuk.

Seperti beras biasa, Xiaomi juga mempunyai pelbagai kategori kualiti dan warna.

Ada warna kuning dan hijau – kebiasaannya ia boleh dimasak dengan campuran pelbagai bijirin lain seperti jagung. Bergantung kepada kreativiti.

Feng berkata, harga beras itu dijual antara RMB10 hingga RMB100 bagi setiap satu kati (600 gram).

Jangan terkejut, di sekitar Gansu, kebanyakan penjual menggunakan ukuran kati dan tahil.

MGF27102018_BERAS Xiǎomǐ CINA05
Seorang wanita, Feng Chun Li menunjukkan bungkusan beras organik yang dipanggil Xiǎomǐ di Ning, Gansu, China. foto HAZROL ZAINAL, 27 OKTOBER 2018.

“Walaupun pelbagai hidangan moden wujud pada masa sekarang tetapi Xiaomi masih menjadi pilihan setiap isi rumah di Gansu.

“Ini kerana Xiomi memelihara kesihatan kerana ia tidak ada kolestrol dan sangat berkhasiat bagi ibu-ibu mengandung dan wanita yang baru melahirkan anak,” kata Feng Chun Li, seorang penggemar bubur nasi Xiaomi.

Mereka yang sensitif perut juga digalakkan mengambil bubur Xiaomi.

Disebabkan khasiat dan keenakan Xiaomi, rata-rata penduduk China akan menghirup dua hingga tiga mangkuk sekali makan tanpa campuran menu lain.

Kepada mereka yang tidak mampu mengambil hidangan mee tarik dengan sambal cili yang berasap lidah, jangan risau kerana cubalah menikmati bubur Xiaomi yang enak ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast