Datuk Shamsubahrin Ismail
Pengarah Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd., Datuk Shamsubahrin Ismail bercakap pada sidang media mengenai Kementerian Pengangkutan di Wisma Central, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 05 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Pengarah Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd., Datuk Shamsubahrin Ismail menyifatkan Belanjawan 2019 yang dibentang pada Jumaat lepas menyedihkan kepada pemandu teksi di negara ini.

Shamsubahrin berkata, ini kerana belanjawan itu langsung tidak menyentuh insentif khas untuk pemandu teksi yang kini kehilangan pendapatan akibat saingan tidak sihat penyedia perkhidmatan e-panggilan khususnya Grab.

“Saya tengok Belanjawan 2019 yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, bajet ini amat menyedihkan bagi industri teksi.

“Saya lihat bajet ini tidak membantu industri teksi, tidak membantu pemandu teksi dan tidak diumum juga untuk beri satu unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada setiap pemandu teksi.

“Kita bukan minta duit, saya dah minta (rumah PPR) untuk pemandu yang tidak mempunyai rumah dan masih menyewa bilik atau rumah,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Wisma Central hari ini.

Shamsubahrin juga berkata, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) seharusnya tidak mengulangi sikap pilih kasih yang diamalkan Barisan Nasional (BN) sejak pemerintahan lalu dalam soal kebajikan pemandu teksi.

“Kita sudah mohon kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan sudah lama kita mohon (rumah PPR) walaupun diluluskan tapi tidak diberi rumah. Saya tengok PPR banyak kereta Mercedes, Toyota Camry, mana keadilannya, itu zaman lepas (BN).

“Sekarang PH sudah ambil alih, kita ada menteri bagus, Menteri Wilaya,  Khalid Abdul Samad terbaik selalu prihatin kepada rakyat, jadi kita mohon supaya dapat disediakan rumah kepada pemandu-pemandu teksi.

“Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin juga kita minta, kalau ada permohonan minta rumah untuk pemandu-pemandu teksi, jangan dibuang dalam tong sampah atau diletakkan bawah meja,” katanya.

Menurut beliau, komuniti pemandu teksi memahami keadaan ekonomi kerajaan dan hanya meminta agar stesen NGV diperluaskan bagi memudahkan mereka mengisi bahan api berkenaan.

“Kita tak payah minta minyak, NGV atau duit, memang tak dapat, kita bukan nak minta banyak, kalau boleh stesen NGV dibuka lebih banyak.

“Kalau tidak di Cochrane dan Batu Caves itu sudah jadi macam pasar pemandu teksi beratur dan makan masa lama (mengisi gas),” katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan mempertimbangkan agar bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk anak-anak pemandu teksi dikecualikan jika mendapat keputusan cemerlang.

“Saya mohon anak-anak pemandu teksi tidak dikenakan bayaran balik PTPTN sekiranya keputusan pelajarannya cemerlang.

“Tawaran ini boleh diberikan kepada mereka yang mempunyai keputusan terbaik sebab mereka ini memang tak mampu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast