Fazley menegur tindakan Aliff meletakkan bedak asas dengan menggunakan tangan pada wajah penonton wanita ketika program Gegar Vaganza musim kelima bersiaran secara langsung.

KUALA LUMPUR – Konsert Gegar Vaganza musim kelima (GV5) terus mengundang kontroversi apabila penaja utamanya, Datuk Seri Aliff Syukri mengenakan produk bedak asasnya kepada wajah seorang penonton wanita malam tadi yang dilabelkan ‘pecah rumah’ dengan mendakwa akan menjadi cantik selepas itu.

Tindakan spontan Aliff Syukri ketika segmen promosi penaja yang ketika itu disiarkan secara langsung telah menimbulkan kemarahan netizen termasuk golongan artis.

Salah seorangnya penyanyi Datuk Fazley Yaakob yang meluahkan rasa kesalnya kerana terdapat banyak lagi bentuk pemasaran yang boleh dilakukan Aliff tanpa perlu menggunakan perkataan keterlaluan yang berbaur rasis terhadap warna kulit seseorang.

Fazley turut menegur tindakan Aliff meletakkan prodyuk itu dengan menggunakan tangan pada wajah individu tersebut ketika program itu bersiaran secara langsung.

“Maaf… Terlalu melampau jika sekadar untuk pemasaran. Banyak lagi cara untuk menjual jenama, bukan menggunakan perkataan berbaur perkauman terhadap warna kulit seseorang.

“Melabelkan wajah seseorang sebagai kurang sempurna, apatah lagi meletakkan bedak asas dengan tangan untuk ‘mencantikkan’ seseorang di sebuah program yang begitu ramai pengikutnya,” katanya di laman sosial Instagram miliknya.

Fazley menambah, penonton turut sama ketawa melihat gelagat Aliff itu sebagai memalukan.

Penyanyi lagu Asmara ini juga menyindir, memiliki kekayaan tidak menjamin seseorang itu mempunyai adab dan pemikiran yang bijaksana.

Dia juga meminta Aliff agar membuat permohonan maaf kerana perkara itu melibatkan maruah dan rezeki.

Bagaimanapun, Aliff sudah membuat permohanan maaf ketika konsert itu bersiaran langsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Hari ini, isteri beliau, Datin Seri Shahida di Instagramnya menjelaskan wanita itu adalah kakitangan syarikat dan tindakan itu adalah gimik yang telah dirancang.

Namun netizen masih tidak berpuas hati dengan penjelasan Shahida itu dan berlakunya serangan berbalas komen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast