MENGINAP di hotel sepanjang percutian mungkin sudah membosankan bagi kebanyakan orang.
Malah, buat ibu bapa yang ingin menghiburkan anak-anak sempena cuti persekolahan hujung tahun ini sudah pastinya mereka sedang tercari-cari destinasi sesuai untuk membawa keluarga.
Bagi yang memiliki bilangan ahli keluarga agak ramai mereka sudah pasti memperuntukan perbelanjaan percutian agar tidak membebankan, lebih-lebih lagi perlu membuat persediaan untuk persiapan persekolahan anak-anak mereka untuk penggal baru pada Januari depan.
Sejajar perkembangan industri pelancongan masa kini, lebih banyak pilihan penginapan menanti pengunjung.
Jika mahukan sesuatu yang unik dan berbeza, menginap di Lanjut Beach & Golf Resort (LBGR) sememangnya mampu meninggalkan kenangan manis untuk keluarga tersayang.
Dibuka pada 1 Julai 2018, resort yang terletak di Kampung Lanjut Kuala Rompin ini sememangnya sesuai untuk dijadikan destinasi percutian bukan sahaja kerana kawasannya yang indah tetapi, banyak aktiviti boleh dilakukan sebagai menceriakan lagi percutian keluarga.
Jika pengunjung datang dari Lembah Klang, perjalanan selama empat jam melalui Kuala Pilah tidak akan membosankan kerana banyak tempat boleh disinggahi untuk melenyapkan kebosanan itu.
Salah satu destinasi yang boleh dikunjungi ialah dengan menziarahi Teratak Zaaba atau lebih dikenali sebagai Muzium Pendeta Zaaba yang terletak di Batu Kikir, Negeri Sembilan.
Pengunjung boleh menambah pengetahuan terhadap sejarah dengan melawat muzium berkenaan yang menempatkan pelbagai koleksi peninggalan Allahyarham Zaaba juga merupakan tokoh tersohor dalam bidang penulisan dan tatabahasa.
Sesuatu yang pengunjung perlu tahu ialah muzium tersebut dibuka dari pukul 9 pagi hingga 5 petang dengan tidak dikenakan sebarang bayaran masuk.
Dari Teratak Zaaba, perjalanan menuju ke LBGR mengambil masa lebih kurang dua jam.
Setibanya di resort berkenaan, kakitangan di situ pasti akan menyambut kehadiran anda dengan penuh layanan mesra yang mampu menghilangkan rasa penat selepas berada dalam perjalanan yang jauh.
Rasa letih juga terawat apabila anda melangkahkan kaki masuk ke bilik yang sudah ditempah kerana bukan sahaja bersih malahan, turut membuatkan anda berasa tenang dan selesa dengan hiasan yang terdapat di dalamnya.
Jika perut terasa lapar, anda boleh memesan makanan di restoran yang terdapat di resort berkenaan dengan sajian pelbagai jenis masakan dari menu Selatan hingga Pantai Timur serta makanan barat.
Seramai 14 chef yang mempunyai pengalaman dalam menyajikan pelbagai jenis makanan dan pengunjung tidak perlu bimbang kerana hasil air tangan mereka pasti tidak akan mengecewakan.
Masakan kampung yang enak dan aktiviti berbasikal di sekeliling kampung yang redup menjanjikan pengalaman percutian yang sukar dilupakan.
Resort ini juga mempunyai kelainan pada pantainya yang tidak terdapat di tempat-tempat lain kerana memiliki pasir yang seakan warna emas dan boleh menghasilkan suatu pemandangan yang cantik atau (mirror of the beach) dan ia merupakan salah satu daripada tarikan terhadap peminat fotografi.
Meskipun, pantainya tidak sesuai untuk dijadikan tempat mandi-manda tetapi pengunjung boleh melakukan aktiviti lain seperti bermain bola pantai.
Bagi peminat golf pula, jangan lupa membawa set golf masing-masing kerana di resort ini mereka boleh mengisi masa dengan bermain permainan itu.
Padang golf yang menyediakan 18 lubang mempunyai rumput setanding dengan padang digunakan dalam banyak pertandingan bertaraf antarabangsa.
Untuk kaki pancing pula, resort ini turut menyediakan pakej bagi tujuan itu dan laut luas di sini sememangnya menjadi tumpuan mereka.
Lebih menyeronokkan lagi apabila pengunjung boleh merasai sendiri pengalaman mencari kepah di beberapa kawasan dan pakej tersebut turut disediakan oleh pihak pengurusan resort.
Pada sebelah malam pula banyak aktiviti boleh dilakukan di resort tersebut antaranya aktiviti santai berBBQ dan menaiki bot untuk melihat keindahan kunang-kunang (kelip-kelip).
Jika bertuah, anda boleh menyaksikan ikan lumba-lumba di tepi pantai yang hanya akan muncul selepas subuh selain menikmati panorama dan keindahan waktu pagi serta terbitnya matahari.
Penulis pasti kehadiran pengunjung di resort ini akan meninggalkan 1001 kenangan manis dan mungkin akan dijadikan sebagai destinasi percutian semula pada masa akan datang.
Bagi yang ingin tahu lebih lanjut mengenai resort ini boleh mengunjungi laman Facebook atau laman web Lanjut Beach and Golf Resort dan tempahan penginapan boleh dibuat menerusi beberapa penyedia rangkaian perhotelan. – MalaysiaGazette