DUBLIN – Enam anak kapal Ryanair yang gambar mereka dirakam tidur di atas lantai di pejabat lapangan terbang Sepanyol bulan lalu telah dipecat.
Syarikat penerbangan itu berkata, pemecatan itu dibuat kerana anak-anak kapal itu melakukan salah laku.
Gambar yang dikongsi menerusi laman sosial itu mendapat liputan meluas hingga kesatuan Portugis yang mewakili anak-anak kapal itu mengkritik Ryanair.
Namun Ryanair menafikan perkara itu.
“Anak kapal menghabiskan sekejap di dalam bilik kru sebelum dipindahkan ke VIP lounge sebelum berlepas ke Porto,” kata Ryanair selepas gambar berkenaan tersiar.
Lebih 20 anak kapal terkandas di lapangan terbang Malaga apabila penerbangan ke Porto dialihkan pada 14 Oktober lalu.
Ryanair berkata, gambar-gambar berkenaan telah mendorong kepada laporan berita dan ia menjejaskan reputasinya dan menyebabkan pelanggaran amanah oleh enam anak kapal yang tidak dapat diperbaiki. – MalaysiaGazette