KAJANG – Kementerian Industri Utama akan membuat kajian berhubung penetapan paras harga Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang kini ditetapkan pada RM2.20.

Menterinya, Teresa Kok, berkata kerajaan memperuntukkan sebanyak RM50 juta dalam Belanjawan 2019 untuk pelaksanaan IPG bagi membantu pekebun kecil dan penoreh getah, namun masalah yang dihadapi kini adalah penetapan harga IPG berkenaan.

“Masalah sekarang adalah kuantum harga lantai iaitu RM2.20. Kementerian akan menjalankan kajian sama ada ia akan ditetapkan pada tahap RM2.20 sebagai harga lantai atau ditambah.

“Kita perlu membuat kiraan berapa insentif yang layak diterima penoreh getah. Justeru, ia memerlukan sedikit masa,” katanya kepada pemberita hari ini, selepas melancarkan Seminar dan Pelan Biosekuriti untuk Industri Minyak Sawit, di sini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, mengenai isu penoreh getah yang pendapatan mereka terjejas akibat kejatuhan harga getah sejak beberapa bulan lalu.

Mukhriz berkata, isu itu akan dibangkitkan pada perbahasan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat agar kerajaan pusat mempertimbangkan semula sejumlah peruntukan khusus untuk golongan itu.

Kok turut menggesa pekebun kecil getah mempelbagaikan pendapatan mereka dengan menceburkan diri dalam penanaman bercampur untuk meningkatkan pendapatan.

“RISDA menggalakkan pekebun kecil menceburi bidang lain untuk mendapatkan sumber pendapatan tambahan selain getah.

“Penternakan serta tanaman campuran lebih banyak membantu mereka,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast