Seorang guru mengedar sebotol air mineral kepada calon sebelum memasuki dewan peperiksaan bagi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya, Presint 16 (1), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 13 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meluluskan 4,525 permohonan pertukaran guru bagi sesi Januari 2019.

Menurut Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr Amen Senin jumlah keseluruhan guru yang membuat permohonan pada mulanya adalah 23,174 orang, paling ramai adalah alasan untuk mengikut pasangan iaitu 1,756 orang iaitu 38.81 peratus yang telah diberikan kelulusan.

“Semua permohonan pertukaran diproses untuk kelulusan permohonan pertukaran pada sesi persekolahan Januari 2019.

“Alasan tertinggi yang diberi kelulusan adalah kes mengikut pasangan iaitu seramai 1,756 orang (38.81 peratus) diikuti kes tempoh berkhidmat di sebuah negeri adalah seramai 1,030 orang (22.76 peratus), lain-lain alasan munasabah pula seramai 814 orang (17.99 peratus), kes permohonan bersama seramai 633 orang (14.56 peratus), kes sakit kronik seramai 222 orang (4.91 peratus) dan kes ancaman keselamatan seramai 40 orang (0.88 peratus),” katanya menerusi kenyataan.

Jelas beliau, kelulusan diberikan kementerian berdasarkan tiga kriteria iaitu kepentingan perkhidmatan, kekosongan perjawatan dan keperluan opsyen.

“Perlu dijelaskan juga bahawa dalam membuat pertimbangan terhadap pertukaran guru dan kebajikan mereka, KPM juga perlu memberi keutamaan terhadap kebajikan dan kepentingan pembelajaran murid,” tambahnya. – MalaysiaGazette