Penarik
Rombongan dari Malaysia diketuai Datuk Mohamaddin Ketapi (dua dari kiri) menunjukkan Black Cab pada kempen bergerak mempromosikan Terengganu di London baru-baru ini.

JIKA anda berada di ibu kota London ketika ini, pastinya anda akan terserempak dengan beberapa teksi London atau ‘Black Cab’ yang merupakan lambang ikonik di sana.

Lebih menarik lagi, ia dihiasi dengan stiker gambar pemandangan Pantai Penarik, Setiu, Terengganu.

Teksi tersebut jelas mempamerkan gambaran pantai yang bersih selain pemandangan laut biru yang tenang bakal memikat hati pelancong untuk datang ke negeri yang sinonim dengan nama penyu bertelur.

Hiasan teksi itu adalah salah satu usaha kempen bergerak bagi membantu kerajaan Terengganu mempromosi produk pelancongan negeri itu di kota London ketika menyertai Tourism Malaysia Pavilion dalam World Travel Market 2018 pada 5 hingga 7 November 2018 di ibu kota London.

Carian di Facebook pula menemui tiga keping gambar teksi itu yang dikongsikan di akaun milik Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada 7 November lepas.

Ia memperlihatkan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Datuk A. Rahman Yahya dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ariffin Deraman turut merakamkan gambar bersama-sama teksi London itu yang dimeriahkan dengan pemandangan menyenangkan hati di tepi Pantai Penarik.

WhatsApp Image 2018-11-13 at 3.36.31 PM

Netizen di dalam ruangan komen entri Facebook memuji dan memberi reaksi positif terhadap kerajaan Terengganu dalam usaha memperkenalkan Terengganu di kota London.

Kebanyakkan mereka berbangga dengan usaha ini dan memohon agar promosi sedemikian diperluaskan lagi.

Turut memberi komen di dalam Facebook antaranya “Sebastian Guiderti” yang mencadangkan agar kerajaan Terengganu menggunakan selebriti seperti Mat Dan; jejaka Inggeris yang fasih berbahasa Melayu dialek Terengganu dan Lee Tuck, pemain import pasukan Terengganu FC dari England untuk tujuan berkenaan.

Ada juga komen seperti dari “Salleh Mohamad” yang mahu budaya negeri Terengganu turut dipamerkan di Black Cab seperti pencak silat Rebana, penyu bertelur dan tenunan batik sutera untuk menarik lebih ramai pengunjung mendekati Kuala Terengganu di samping tempat peranginan yang menjadi tumpuan masyarakat luar.

Di laman Facebook “Azmie Abu Bakar” turut mencadangkan agar laman web atau Kod QR dipamerkan di Black Cab bagi memudahkan proses mendapatkan maklumat mengenai negeri Terengganu, bersesuaian dengan perkembangan pantas teknologi maklumat ketika ini.

Ketika ini, dianggarkan terdapat 21,000 Black Cab di London dan promosi itu pastinya menjadi satu platform yang sesuai untuk mempromosikan Terengganu.

Dengan jangkaan 40.9 juta kemasukkan pelancongan ke United Kingdom pada 2018 dan 39.2 juta pada 2017, ia bakal memberikan impak yang besar terhadap usaha dan kempen ini kepada Terengganu, pastinya.

Kempen berkenaan dikira tepat pada sasaran pembangunan pelancongan negeri itu.

Untuk rekod, Terengganu antara negeri yang bertuah di Malaysia tahun ini untuk terlibat dalam World Travel Market yang merupakan acara besar-besaran untuk industri pelancongan antarabangsa dimana kira-kira 50,000 pemain utama industri, menteri, wakil kerajaan dan media antarabangsa seluruh dunia menyertainya.

Justeru, usaha dan inisiatif Kerajaan Terengganu mempromosikan pelancongan melalui Teksi London akan membuka satu lembaran baharu terhadap industri pelancongan negeri itu.

Ia juga bersesuaian kerana Black Cab merupakan salah satu pengangkutan utama pelancongan dan warga Britain di London.

WhatsApp Image 2018-11-13 at 3.36.43 PM

Ia juga sering di lihat di kawasan-kawasan tumpuan pelancongan dan lapangan terbang yang paling sibuk di dunia, Heathrow.

Usaha kreatif dan pendekatan yang di ambil oleh Menteri Besar Terengganu dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat akan membantu Terengganu dikenali, menjadi tumpuan pelancong dunia sekaligus merancakkan pembangunan ekonomi negeri itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast