KUALA LUMPUR – Mahkamah Khas Pilihan Raya di Seremban hari ini mengarahkan satu Pilihan Raya Kecil diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau segera.

Hakim Datuk Azimah Omar dalam keputusannya mengarahkan kemenangan calon Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) adalah tidak sah dan terbatal.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO memenangi kerusi itu tanpa bertanding pada hari penamaan calon 28 April lalu semasa PRU-14.

Azimah membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan hujah barisan peguam pempetisyen, Dr. S. Streram dan peguam Responden sejak 12 hari lalu.

Seramai 19 orang saksi telah dipanggil mahkamah sepanjang perbicaraan kes tersebut.

Azimah yang membacakan keputusan kes berkata, tidak wujud sebarang undang-undang pilihan raya yang menyebut tag atau pas masuk perlu dipakai oleh seseorang calon, pencadang dan penyokong untuk menyerahkan borang penamaan calon.

“Ini diakui sendiri peguam responden kedua dan ketiga dalam hujah bertulis..dengan itu mahkamah membenarkan mempetisyen memfailkan petisyen seperti berikut, Mohamad tidak dipilih sebagai ADUN Rantau dan pemilihannya tidak sah dan batal.

“Mahkamah memerintahkan satu pilihan raya kecil untuk kawasan DUN Rantau diadakan serta merta,” katanya dalam keputusan itu.

Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan diwakili barisan lima peguam diketuai Datuk Mohd. Hafarizam Harun.

Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Streram diwakili empat peguambela diketuai Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Steram seorang pakar bius hadir ke mahkamah bersama para penyokongnya seawal 8.30 pagi lagi manakala 15 minit kemudian kelihatan ADUN Rantau memasuki perkarangan mahkamah bagi mendengar keputusan petisyen PRU14 ini.

Kelihatan Ketua Penerangan MIC, Datuk VS Mogan, bekas Speaker DUN, Datuk Awaludin Said, ADUN Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris dan beberapa pimpinan UMNO Negeri, hadir memberi sokongan kepada bekas Menteri Besar Negeri Sembilan.

Streram memfailkan petisyen di mahkamah pada 23 Mei lalu untuk memohon PRK DUN Rantau diadakan semula atas alasan penyandangnya Mohamad Hasan tidak dipilih secara sah.

Beliau menamakan Mohamad sebagai responden pertama, Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kawasan parlimen Rembau, Amino Agus sebagai responden kedua dan SPR sebagai responden ketiga dalam kes tersebut.

Dalam pada itu Tok Mat difahamkan, mahu mendapatkan pandangan peguamnya untuk membuat rayuan terhadap keputusan hari ini dalam tempoh 14 hari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast