SHAH ALAM – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan yakin PKR akan mengambil tindakan terhadap mana-mana ahlinya yang terlibat dalam politik wang dalam pemilihan baru-baru ini.
Menyifatkan perbuatan itu merupakan satu kesalahan namun katanya, Pakatan Harapan (PH) tidak akan mencampuri urusan dalaman parti berkenaan.
Justeru, beliau menganggap tidak ada keperluan perkara itu dibincangkan dalam Majlis Presiden PH.
“Politik wang adalah salah. Politik wang ini semua tak setuju jadi ini suatu yang tidak betul tapi itu perkara dalaman PKR biar PKR uruskan dan saya yakin PKR akan ambil tindakan yang sewajarnya saya tidak mahu campur dalam urusan keluarga dalaman PKR,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas perasmian Kongres Nasional Keadilan Ke-13 2018 di Pusat Konvensyen Ideal hari ini.
Sebelum itu, pemilihan parti itu didakwa dicemari dengan perlakuan politik wang sepanjang sembilan minggu berkempen.
Ia disuarakan oleh Rafizi Ramli yang sebelum ini bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden PKR.
Dalam pada itu, Presiden Parti Amanah Negara (PAN) Mohamad Sabu berkata, dakwaan-dakwaan yang tersebar semasa pemilihan PKR tidak menjejaskan PH kerana sehingga kini belum terbukti berlakunya politik wang demi meraih undi.
“Tidak. Tuduhan-tuduhan semasa pemilihan ada tuduhan tetapi itu belum ada lagi dibuktikan. Saya pun dengar ianya daripada sebaran rumors saya tidak ambil apa-apa beratlah,” katanya ketika ditemui. -MalaysiaGazette