KUALA LUMPUR – Lebih 100 anggota sukarelawan dari kelab bermotosikal kuasa besar menyertai program khidmat masyarakat ‘Kami Prihatin’ ke Rumah Kebajikan Anak-anak Yatim dan Tahfiz Al-Habbah, Sungai Tua, Batu Caves, semalam.

Program bergotong royong anjuran Anita Entertainment dan Persatuan ibu bapa Sekolah Tahfiz Al-Habbah itu turut disertai anggota dari pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Presiden Anita Bikers Club, Anita Yusop berkata, program yang diadakan itu merupakan salah satu daripada khidmat masyarakat yang dilakukan oleh kelab bermotosikal sebagai langkah prihatin terhadap anak-anak yatim dan tahfiz di rumah kebajikan berkenaan.

WhatsApp Image 2018-11-18 at 3.31.42 PM

Menurutnya, ia merupakan salah satu daripada aktiviti wajib secara tahunan oleh kelab motosikal berkuasa tinggi selain kembara yang sememangnya selalu diadakan.

“Melalui aktiviti bergotong royong ini kami dapat membantu menceriakan pusat tahfiz berkenaan dengan suasana persekitaran yang bersih agar anak-anak yang berada di sini dapat tinggal dengan selesa.

“Kami juga para bikers dapat menyelami hati dan perasaan mereka selain dapat menjalinkan kerjasama baik dengan semua pihak yang terlibat,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Anita berkata, antara peserta yang terlibat dalam program tersebut iaitu Persatuan Sahabat Rockers Malaysia, Malaysian Kenari Move Community (MKMC), Team Honda RS150R dan Loudness Family.

WhatsApp Image 2018-11-18 at 3.31.48 PM

Tambah beliau, program seperti itu akan diteruskan pada masa-masa akan datang sebagai kesinambungan terhadap siri prihatian jelajah Malaysia kelab bermotosikal berkuasa tinggi. – MalaysiaGazette