KUALA LUMPUR – DAP paling takut sekiranya Pas bekerjasama dengan UMNO kerana ia menjadi tsunami yang boleh meranapkan segala impian politik parti itu.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Mokhtar Senik berkata, DAP akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menggagalkan kerjasama itu dengan menakut-nakutkan ahli Pas dan UMNO kerajaan perpaduan.

“Tujuan DAP melakukan usaha itu supaya ahli tegar Pas akan meninggalkan Pas, manakala ahli tegar UMNO akan meninggalkan UMNO.

“Semakin kecil berlakunya serpihan parti Melayu Islam akan semakin menggembirakan DAP. Contohnya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN), mereka terpaksa berpaut kepada DAP,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Mokhtar Senik
Mokhtar Senik

Mokhtar mengajak orang Melayu Islam dari UMNO dan Pas agar menggerakkan usaha kesedaran kembali kepada Islam sebagai tonggak kekuatan mereka.

Ujarnya, Allah telah mendedahkan kepada rakyat negara ini bahawa cita-cita sulit DAP terhadap negara ini ialah memecah belahkan orang Melayu dan Islam, terutama selepa mereka menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) yang lalu.

Selama ini, katanya, DAP menyembunyikan cita-cita mereka dari tatapan umum, sehinggalah apabila melihat kebanyakan yang bukan Islam berpihak kepada parti itu, dan sebahagian orang Melayu dapat dikuasainya dengan janji manis, lalu secara terang parti chauvinis itu mula melangkah dengan berani untuk mencapai hasrat politik mereka.

“Banyak sudah ucapan dan tindakan mereka yang kita dengar dan lihat memperlekehkan Islam dan bangsa pribumi Melayu ini.

“Sehingga ketuanan Melayu dipersoalkan. Mereka bertambah berani bila ada Melayu bacul yang turut mempertikaikan bangsanya dan mengiakan pandangan DAP.

“Sebenarnya Pas dan UMNO boleh saling mengambil iktibar dari sejarah sesama mereka. Pas ada pengalaman bersama DAP sebanyak dua kali, manakala UMNO ada pengalaman selama 60 tahun lebih sebagai sebuah parti asobiyah Melayu sekular,” katanya.

Kata beliau, jika digabungkan kedua-dua pengalaman itu, mereka akan temui jawapan bahawa perjuangan Islam tidak boleh diharapkan kepada sokongan parti liberal sekluar seperti DAP.

Juga, katanya, iktibar bahawa perjuangan berteraskan nasionalisme Melayu semata-mata akhirnya akan lemah dan runtuh.

“Lalu sebaiknya gabungkan kerjasama politik Pas dan UMNO yang mempunyai persamaan iaitu Melayu dan Islam untuk menyekat keserakahan DAP yang pastinya akan merugikan Islam dan Melayu.

“Ayuh kita gerakkan tsunami politik itu mulai sekarang. Jangan berlaman-laman kerana tanah air ini sudah bosan dengan kezaliman, penindasan dan pembohongan.

“Tanah air ini rindukan keadilan Islam dan segala kebaikan darinya,” ujar Mokhtar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast