ALOR SETAR – Bekas banduan yang dipenjarakan lebih 30 tahun, Jamil Ahmad, 67, meminta golongan muda supaya menjauhi najis dadah kerana jika ‘tersangkut’ akan menjerumuskan mereka kepada perlakuan jenayah yang sukar dibendung.
Jamil, bergelar banduan setelah didapati bersalah melakukan rompakan bersenjata di Kuala Nerang sebelum dibebaskan dari Penjara Sungai Buloh pada 3 Oktober 2006, setelah mendapat pengampunan Sultan Kedah, Almarhum Tuanku Abdul Halim Mua’adzam Shah.
Katanya, sejak dibebaskan, beliau aktif memberi ceramah motivasi di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) agar dapat memberi pengajaran kepada golongan muda supaya tidak melakukan kesalahan sama sepertinya.
“Saya sering mengingatkan anak-anak muda agar tidak mencuba rokok atau menagih dadah yang menjadi punca kepada segala jenayah dan jangan sesekali lawan cakap kedua ibu bapa yang menegur kita berkawan atau apa yang kita buat di luar.
“Bila degil, kita akan ikut kawan-kawan yang tak tentu arah, ia membuka kepada lebih banyak dosa dan titik hitam dalam hati hingga sukar kita menerima nasihat dan hanyut dalam keburukan dan melakukan jenayah berat,” katanya kepada Bernama di sini.
Jamil berkata pengalaman hidup di penjara selama 30 tahun 11 bulan adalah cukup lama dan sangat menginsafkan kerana ia berpunca daripada ketagihan dadah jenis ganja sehingga sanggup melakukan samun.
“Saya bersyukur kerana masih boleh bernafas dan diberi peluang oleh Allah untuk berbakti kepada masyarakat menerusi nasihat dan ceramah yang dijemput selepas saya gagal berbakti kepada kedua ibu bapa sebelum ini.
“Kepada ibu bapa, janganlah berputus asa dan teruskan menegur anak-anak jika mereka membuat silap selain beri pendidikan agama sebaik mungkin agar menjadi benteng daripada terjerumus dengan jenayah yang membawa penyesalan seumur hidup,” katanya.
Sejak dibebaskan dari penjara, beliau menerima lebih 300 jemputan daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Penjara Malaysia serta pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) untuk memberikan ceramah motivasi kepada orang ramai terutama pelajar di Kedah, Perlis dan Selangor.
— BERNAMA