Musa Hassan
Musa Hassan

KUALA LUMPUR – Pendekatan kerajaan yang berhasrat untuk memansuhkan hukuman mati mandatori mendapat reaksi negatif bekas ketua polis negara, Tan Sri Musa Hassan.

Menurut Musa, pemansuhan hukuman tersebut hanya akan menimbulkan banyak masalah apabila penjenayah tidak lagi merasa takut untuk meneruskan aktivitinya.

Beliau berkata, jika sebelum ini undang-undang menguatkuasakan bahawa pesalah jenayah berat seperti membunuh, mengedar dadah dan beberapa kesalahan lain perlu dijatuhi hukuman mati, namun, sekiranya ia dihapuskan masalah tersebut tidak akan selesai sebaliknya terus meruncing.

Malah, bagi sesetengah mangsa yang terlibat dengan kes-kes seperti pembunuhan, mereka sudah pasti tidak akan mendapat pembelaan sewajarnya.

“Mangsa pun ada hak dia juga. Kadang-kadang mangsa ini hak dia kita tak ambil endah.

“Katalah seorang kanak-kanak dibunuh lepas itu kita dapat tangkap penjenayah tersebut kemudian penjenayah didapati bersalah, tapi, tidak ada hukuman gantung.

“Dia (penjenayah) kena hukuman lima hingga 10 dengan pengampunan dalam masa 6 tahun dah keluar balik. Jadi, apa rasa ibu bapa mereka. Ini hak mereka (kenakan hukuman mati mandatori),” katanya dalam satu temubual bersama MalaysiaGazette.

Musa menegaskan, hukuman mati merupakan satu undang-undang yang dijadikan peringatan kepada masyarakat agar tidak terlibat dengan jenayah yang boleh dikenakan hukuman itu.

Penjenayah akan merasa takut untuk melakukan kesalahan dan dengan cara itu negara dapat dipacu dengan aman dan kes-kes jenayah berat juga dapat dikurangkan.

“Itu kita kena jaga. Jadi berkaitan perkara ini setiap negara ada hukuman mati.

“Kalau di Malaysia hukuman gantunglah, di China di tembak jika didapati bersalah dan di Amerika sendiri ada yang masih kekalkan hukuman gantung, walaupun dia demokrasi dan ada hak asasi, ada negeri-negeri yang masih kekalkan hukuman mati.

“Ini hak setiap rakyat di negara itu apa yang mereka nak. Yang penting adalah keselamatan rakyat negara kita.

Dalam perkembangan sama Musa berkata, melaksankan hukuman mati mandatori itu bukan satu perkara yang mudah.

Jelasnya, ia disebabkan pendakwa perlu membuktikan kesalahan yang dilakukan oleh penjenayah terbabit sebelum mahkamah membuat sebarang keputusan bagi menentukan hukuman yang boleh dijatuhkan terhadapnya.

“Jadi bukan senang nak gantung orang. Bagi saya ia perlu ada.

“Sekarang ini kita lihat banyak orang bunuh anak-anak kecil (kes pembuangan anak luar nikah). Anak-anak kecil ini jadi mangsa kerana perbuatan ibu bapa dia sendiri.

“Adakah kita nak benar ia dibiarkan begitu? Saya rasa perlu hukuman serius terhadap hukuman mati ini,” tegasnya.

Kerajaan mengambil pendekatan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori atas alasan tiada pengajaran kepada pesalah-pesalah jenayah terbabit.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pernah menyatakan, terdapat hukuman-hukuman lain yang boleh dikenakan kepada pesalah-pesalah jenayah dan perkara itu sedang dibincangkan di peringkat Kabinet.

Pada 27 Oktober lalu, kerajaan masih belum memuktamadkan keputusan untuk memansuhkan hukuman itu kerana masih membuat konsultasi dan kajian mengenainya.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kementerian juga sedang mendapatkan maklum balas pelbagai pihak sebelum ia dibentangkan kepada Kabinet.

Bagaimanapun, langkah kerajaan itu ditentang sepenuhnya oleh keluarga mangsa yang melibatkan kes bunuh.

Antaranya pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya; timbalan pendakwa raya, Datuk Anthony Kevin Morais dan pegawai bank, Wong Jing Kui. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast