KUALA LUMPUR – Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Sabah menyokong cadangan untuk ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Namun menurut Pengerusi Perpaduan Anak Negeri Sabah, Esther Golingi, ia perlu selari dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terutama berkaitan peruntukan tanah untuk masyarakat Bumiputera.
“Pengecualian kepada hak-hak masyarakat Bumiputera mesti dihormati seperti dalam Deklarasi PBB Mengenai Hak-hak Pribumi yang diterima secara antarabangsa,” kata Pengerusi Esther Golingi kepada pemberita hari ini di Kota Kinabalu hari ini.
Golingi berpendirian bahawa usaha kerajaan itu tidak bakal menjejaskan hak Bumiputera di Sabah dan Sarawak.
“Malang sekali dalam konteks Malaysia, kaum itu termasuk agama. Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan mentakrifkan Melayu itu seseorang yang, antara lain, menganuti agama Islam, bercakap dalam Bahasa Melayu, dan mengikut budaya Melayu.
“Akibatnya, rakyat berketurunan Melayu yang meninggalkan Islam tidak lagi dianggap Melayu bawah undang-undang, dan hak istimewa Bumiputera yang diberikan kepada mereka bawah Perkara 153 Perlembagaan serta Dasar Ekonomi Baru dilucutkan,” tambahnya.
Beliau menambah kepelbagaian kaum dan agama harus diraikan dan itu adalah tanda negara yang matang.
“Menggunapakai ICERD langkah pertama yang penting untuk memacu Malaysia ke arah menjadi negara progresif yang perlu untuk persaingan dalam masyarakat global,” tambahnya.-MalaysiaGazette