KUALA LUMPUR – Orang Melayu marah kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) apabila P. Waytha Moorthy menyatakan cadangan mahu meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan cadangan itu rakyat merasakan hak mereka sudah mula dicabar secara terbuka terutama oleh seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang kononnya menjaga perpaduan dan integrasi kaum.
Jelas beliau, berikutan itu juga Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Dewan Pemuda Pas Malaysia memulakan bantahan serta protes secara terbuka di seluruh negara mendesak kerajaan PH menarik balik atau membatalkan cadangan itu.
“Sebenarnya ICERD ini sudah lama wujud. Ianya mula diratifikasi pada tahun 1965 dan mula berkuatkuasa pada 1969. Tujuan asalnya adalah untuk menentang dasar apharteid di Afrika Selatan.
“Rakyat Malaysia harus tahu sejarah kenapa ICERD ini diwujudkan. Apakah kita di Malaysia mengamalkan Dasar Aphatied iaitu sistem yang mengamalkan perkauman?
“Dalam Perlembagaan Malaysia terdapat pelbagai klausa dan fasal yang menjamin dan keistimewaan yang diberikan kepada kaum lain selain Bumiputera dan bagaimana ianya dijamin dalam Perkara 11 iaitu hak kebebasan mengamalkan dan menganut agama mereka dan Perkara 3(1), iaitu penganut agama lain masih lagi bebas mengamalkan agama mereka,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Jelas beliau, Malaysia bukan pengamal Sistem Aphatied dan dengan itu ICERD tidak perlu diratifisikasikan.
Kata Ismail Sabri, walaupun sudah lama diperkenalkan, Malaysia tidak pernah terlibat, malah tidak ramai pun yang tahu kerana tidak pernah diperbincangkan sama ada secara sulit atau secara terbuka.
Pastinya kata beliau, setiap kaum menghormati sensitiviti orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak yang merupakan kaum majoriti.
“Pastinya juga mereka masih menghormati kontrak sosial antara semua kaum dan mereka menghormati toleransi orang Melayu sewaktu pembentukan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka serta toleransi Anak Negeri Sabah dan Sarawak melalui pembentukan Malaysia.
“Mereka juga memahami perkara-perkara sensitif yang menjadi taboo dan tidak boleh disentuh, tetapi keadaan menjadi berubah selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) apabila kerajaan PH yang didominasi oleh DAP memenangi pilihan raya itu,” katanya.
Katanya, sejak itu, DAP mula membuka topeng mereka yang sebenar dan terserlahlah sifat anti-Melayu mereka.
“Apakah orang Melayu masih tidak nampak kerakusan DAP ini setelah mereka memiliki kuasa?
“Isu sensitif sudah tidak lagi menjadi sensitif. Perkara yang tidak pernah dibincangkan secara terbuka, mereka mula berani menjadikan agenda terbuka dan mempertikaikan secara terbuka tanpa lagi menghormati hak-hak sensitiviti orang Melayu,” ujarnya. – MalaysiaGazette