KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah bertindak untuk menangani penggantungan operasi FlyFireFly Sdn Bhd (Firefly) di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura mulai 1 Disember ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, CAAM berkata, ia menghormati sepenuhnya keputusan pihak berkuasa Singapura untuk memindahkan operasi Firefly dari Lapangan Terbang Changi ke Lapangan Terbang Seletar kerana ia berada dalam bidang kuasanya untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, katanya, CAAM tidak pernah merujuk pemindahan operasi turboprop yang dijadualkan ke Lapangan Terbang Seletar mulai 1 Disember 2018.

CAAM mengakui wujud isu perundangan yang perlu ditangani antara kedua-dua pengawas selia penerbangan awam kedua-dua negara dan Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan Singapura mengenai isu pengawalan yang berkaitan dengan rancangan Singapura untuk memindahkan operasi Firefly ke Seletar.

Selain itu, ia termasuk isu ruang udara terutama mengkaji semula terma dan syarat ruang udara Malaysia ke Singapura untuk peruntukan perkhidmatan trafik udara, “tambah CAAM. – MalaysiaGazette