KUALA LUMPUR – Lebih 88,000 penyokong hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksi aksi terakhir Kumpulan A Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia dan Myanmar malam ini.
Jumlah akhir itu diumumkan ketika waktu rehat perlawanan yang bergema dengan sorakan penyokong.
Sebelum itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia turut mengesahkan tiket telah terjual sebanyak 72,000 sehingga petang tadi.
Semuanya demi memberi sokongan kepada pemain Harimau Malaya yang berdepan misi wajib menang ke atas Myanmar untuk mara ke separuh akhir.
Suasana ibarat pesta dan gamat biarpun Harimau Malaya menampilkan prestasi turun naik sebelum ini.
Menghangatkan suasana dengan kemunculan Ultras Malaya yang tidak henti menyanyi dan bersorak di satu penjuru khas dalam stadium.
Sementara itu, Harimau Malaya melunaskan dendam ke atas Myanmar apabila meraih kemenangan 3-0 sekali gus menempah tiket ke separuh akhir.
Sebelum perlawanan, Malaysia ketinggalan satu mata di belakang Myanmar dalam kumpulan dan berdepan tugas getir wajib menang jika mahu mara ke separuh akhir sementara lawan mereka hanya perlukan seri.
Pada Piala AFF 2016, Myanmar mengecewakan Malaysia apabila menunjukkan jalan keluar selepas menang 1-0 pada perlawanan terakhir kumpulan di Stadium Thuwunna, Yangon. – MalaysiaGazette