KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan sebanyak 62,307 tiket perlawanan antara Malaysia dan Myanmar di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini sudah pun terjual sehingga semalam.

Aksi terakhir Kumpulan A itu bakal memecah rekod kehadiran penyokong tertinggi dalam kejohanan Piala AFF 2018 setakat ini.

Setakat ini, rekod kehadiran tertinggi penonton dipegang Stadium Nasional My Dinh, Hanoi dan aksi di Stadium Bukit Jalil bakal menyaksikan jumlah itu bakal dipecahkan.

Stadium Nasional My Dinh sebelum ini mencatat rekod kehadiran tertinggi sebelum ini iaitu dengan kehadiran 40,000 penyokong ketika aksi antara Vietnam dan Malaysia pada 16 November lalu.

Jumlah kehadiran tertinggi turut dicatatkan di Stadium Rajamangala ketika aksi Kumpulan B antara Thailand dan Indonesia pada Sabtu lalu yang menyaksikan kehadiran 37,570 penyokong.

Aksi Harimau Malaya di gelanggang lawan dilihat sentiasa mendapat sambutan daripada segi kehadiran penyokong selepas aksi menentang Kemboja di Stadium Olimpik turut mencatat jumlah kehadiran tinggi dengan 34,250 penonton.

Namun aksi di gelanggang sendiri ketika berdepan Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 12 November lalu hanya mencatat jumlah kehadiran kurang memberangsangkan apabila hanya 12,127 penyokong yang hadir ke stadium.

Justeru, aksi berdepan Myanmar bakal menyaksikan kebanjiran penyokong Harimau Malaya dan Myanmar ke Stadium Nasional yang mampu memuatkan 80,000 penonton.

Jumlah jualan tiket perlawanan itu juga dijangka akan terus meningkat dengan penyokong masih boleh mendapatkan tiket di stadium hari ini.

Perlawanan esok cukup penting buat kedua-dua pasukan kerana ia akan menentukan sama ada Malaysia atau Myanmar yang akan layak ke peringkat kalah mati selepas ini.

Harimau Malaya memerlukan kemenangan manakala Myanmar hanya perlu seri selepas meraih tujuh mata dan Malaysia pula sekadar meraih enam mata. – MalaysiaGazette