LONDON – Pemain tengah Chelsea, N’Golo Kante kekal di kelab itu lagi lima tahun selepas menandatangani kontrak baharu semalam.
Bintang antarabangsa Perancis itu tiba dari Leicester City pada tahun 2016 dan menjadi pilihan sebagai tonggak utama The Blues apabila mempamerkan aksi cemerlang yang konsisten.
Kontrak baharu itu sekali gua menamatkan spekulasi bahawa Kante bakal angkat kaki dari Stamford Bridge.
Difahamkan, Kante akan menerima bayaran gaji dua kali ganda daripada gaji asalnya kepada 290,000 pound sterling seminggu.
“Saya gembira kerana dapat menyambung kontrak saya bersama Chelsea. Tempoh dua tahun bersama kelab sangat luar biasa dan saya mahu membantu pasukan pada masa akan datang.
“Sejak tiba di sini, saya dapati prestasi sebagai seorang pemain sentiasa meningkat.
“Ini kerana saya mencabar diri sendiri dan berjaya menerima beberapa anugerah di luar jangkaan saya,” katanya dalam laman web Chelsea. – MalaysiaGazette