Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bergambar kenangan bersama sebahagian peserta larian lasak dan Skuad Platun War Band Universiti Pertahanan Nasional Malaysia pada Pertandingan Warriors Challenge 3.0 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 24 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Kejohanan lasak Warrior Challange akan diangkat sebagai acara sukan tahunan secara besar-besaran peringkat nasional bermula tahun depan, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Kata Menteri Belia dan Sukan itu, kementeriannya akan membantu Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) untuk membawa kejohanan yang akan memasuki edisi tahun keempat itu disertai rakyat Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak seperti maraton besar yang lain.

Menurut beliau, keputusan itu diambil selepas penyertaan bagi temasya ketiga bagi 2018 ini berjaya menarik 1,200 peserta termasuk dari luar negara disebabkan ciri-ciri ala ketenteraannya yang menguji stamina fizikal dan semangat kekentalan minda peserta.

“Memang benar KBS akan mengangkat sukan ini sebagai kejohanan tahunan peringkat nasional seperti perlumbaan besar sedia ada lain di negara ini.

“Ia bukan sekadar kejohanan marathon tetapi ia juga dapat melatih kepimpinan seseorang membakar semangat perjuangan itu dan uji kekuatan mental.

“Kejohanan ini harus diteruskan dan saya gembira ada aktiviti amal sekali dan sebahagiannya akan didermakan kepada tabung pahlawan tanpa mereka siapalah kita.

“Saya hendak mengajak seluruh rakyat Malaysia menyertai kejohanan lasak Warrior Challenge selepas ini untuk benar benar memastikan negara bersukan,” katanya ketika ditemui selepas flagg off perlumbaan kategori elit melibatkan 200 peserta hari ini.

Beliau turut menjadi peserta dan menyertai perlumbaan untuk menguji staminanya dan berjaya menamatkan kategori terbuka itu dengan mencatatkan masa 1 jam 55 minit iaitu tiba ke garisan penamat 10.25 pagi tadi.

Tambahnya,  semasa menuntut, beliau pernah menyertai kejohanan seperti ini tetapi tetap teruja pertama kali menerima pingat di penghujung kejohanan.

“Ia lebih membakar semangat untuk menyertai temasya ini, harap lebih ramai di luar sana akan menyertainya pada tahun hadapan apabila dianjurkan peringkat nasional,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan lanjut proses kertas kerja dan sebagainya untuk memastikan Warrior Challenge akan tampil sebagai acara nasional pada tahun 2019.

Turut hadir Panglima Tentera Darat (PTD) ATM, Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi dan Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Abdul Halim Jalal.

Justeru, UPNM juga berhasrat untuk membantu KBS dalam membina modul dan idea terkini berkaitan belia dan sukan.

Inisiatif berkenaan bakal menggunakan pendekatan Quadraple Helix iaitu gabungan kerjasama di antara kerajaan, industri, universiti dan masyarakat.

Warrior Challenge dianjurkan sejak tahun 2016 dan diteruskan sebagai acara tahunan bertujuan membantu meningkatkan tabung Pahlawan dan Penganjurannya disokong Kementerian Pertahanan dan ATM.

Bersukan sambil beramal, sebahagian hasil dari kutipan yuran penyertaan serta tajaan yang diterima dalam bentuk wang tunai dari penaja utama iaitu Affin Bank Berhad dan Genting Malaysia Berhad akan disalurkan kepada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) yang menerajui kempen Tabung Pahlawan tahun ini demi.

Penganjuran tahun ini memperkenalkan kategori baharu iaitu Kategori Elit meliputi jarak larian dan cabaran berjauh 22.5 kilometer, sementara Kategori Terbuka masih mengekalkan 11.2 kilometer sebagai jarak.

Cabaran merentasi air dengan jarak 100 meter di atas Jet-Float yang direka oleh 4 Skuadran Rejimen Askar Jurutera Diraja dari kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan.

Penyertaan dibuka kepada peserta berumur 18 tahun dan ke atas dengan yuran RM125 untuk Elit dan RM100 untuk kategori Terbuka.

Ia sebagai peluang untuk orang awam merasai sendiri latihan dan cabaran ala ketenteraan yang sukar diperoleh selain berfungsi sebagai platform memupuk kesedaran dan semangat cintakan negara.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast