Video yang memaparkan P. Waytha Moorthy yang memburukkan Malaysia di luar negara.

KUALA LUMPUR – Sidang Meja Bulat anjuran Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Johor sebulat suara meluluskan resolusi mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy meletakkan jawatan.

Desakan juga dibuat kepada kerajaan supaya mengambil tindakan tegas ke atas menteri berkenaan kerana telah membuat kenyataan palsu terhadap orang Melayu dan umat Islam ketika berada di luar negara kira-kira 10 tahun lalu.

Dr Mohd Mazri Yahya
Dr Mohd Mazri Yahya

Menurut Pengerusi UMMAH Johor, Dr Mohd Mazri Yahya, walaupun kenyataan palsu itu sudah lama, ianya tetap suatu kesalahan yang merosakkan sehingga kini.

“Kita merasakan tindakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi peluang kedua kepada Waytha Moorthy tidak boleh diterima.

“Beliau perlu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam dan orang Melayu di negara ini di atas keceluparannya,” katanya dalam kenyataan kepada media di Johor hari ini.

Sidang Meja Bulat peringkat Johor ini telah mencatat sejarah apabila berjaya mengumpulkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan serta parti politik berasaskan Islam dan Melayu dalam negeri itu.

Sidang yang diwakili kira-kira 50 perwakilan NGO itu berlangsung selama satu hari di Dewan Langkasuka 1 & 2, Hotel Seri Malaysia, Larkin, Johor Bahru.

Menurut Dr Mohd Mazri, ketika sidang berlangsung, perbincangan secara matang, membina, positif dan dalam nada kesepakatan telah dapat dilaksanakan.

Katanya, kesepakatan dalam isu yang berkaitan mempertahan dan memperkasakan agenda Islam serta Melayu telah dapat dicapai.

“Jawatankuasa UMMAH Johor juga telah berjaya ditubuhkan dengan menggabungkan barisan pimpinan dari kalangan pelbagai pertubuhan.

“Melalui Sidang Meja Bulat UMMAH Johor juga semua wakil bersetuju dengan resolusi, pertama, perpaduan umat Islam dan Melayu dalam negara akan memberikan keuntungan kepada seluruh rakyat.

“Justeru, berdasarkan suasana terkini, sudah sampai masanya umat Islam dan orang Melayu negara ini bersatu di atas asas takwa dalam mempertahankan kedaulatan Islam, bangsa dan negara,” katanya.

Beliau berkata, kemelut yang berlaku berkaitan dengan isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) telah menyedarkan orang Melayu dan umat Islam terdapat beberapa konvensyen antarabangsa yang bertentangan dengan perlembagaan negara.

Jelas beliau, terdapat usaha untuk meratifikasikan konvensyen tersebut tanpa dibahas di Parlimen, maka sidang itu menekankan mana-mana parti yang memerintah negara ini supaya menjunjung Perlembagaan Negara dengan menolak sebarang usaha yang bercanggah dengan perlembagaan.

Katanya, sidang itu juga meluluskan resolusi mendesak P. Waytha membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam dan orang  Melayu di negara ini di atas keceluparan beliau.

“Beliau juga perlu menyatakan secara bertulis kepada pihak yang beliau telah sebarkan fitnah terhadap negara, bahawa beliau telah melakukan kesalahan memfitnah dan semuanya adalah salah serta bohong dan tidak bertanggungjawab.

“Sidang Meja Bulat ini juga mendesak beliau meletakkan jawatan sebagai menteri perpaduan dan diambil tindakan sewajarnya, manakala kenyataan Pejabat Perdana Menteri berhubung ICERD tidak memberi apa-apa merit.

“Sedangkan akujanji manifesto daripada kerajaan tidak ditepati dan penuh penipuan, inikan pula kenyataan begitu yang terlalu umum,” tegasnya.

Dr Mohd Mazri juga menyatakan Parlimen adalah tempat sesuai untuk kerajaan menyatakan sokongan dan pendirian untuk tidak meratifikasikan ICERD.

“Kita bersetuju akan melaksanakan suatu Konvensyen Ummah peringkat negeri Johor dalam jangkamasa yang terdekat dan program akan diatur bagi melahirkan ikatan ukhuwah ummah yang cukup kuat dari sudut pemikiran dan tindakan, demi untuk kepentingan umat Islam dan orag Melayu di negara ini. – MalaysiaGazette