Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mempertimbangkan permintaan pengusaha bas ekspres untuk menaikkan tambang perkhidmatan itu, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar.

Katanya, kali terakhir tambang bas ekspres dinaikkan ialah pada 2009 dan sekiranya dipersetujukan, kerajaan akan memastikan peningkatan kali ini adalah pada kadar munasabah untuk membantu pengusaha bas ekspres menampung peningkatan kos operasi, tanpa membebankan pengguna.

“Daripada perbincangan dan konsultasi dengan pengusaha bas ekspres, memang terdapat permintaan dan desakan yang kuat daripada mereka terhadap kerajaan supaya dibenarkan menaikkan kadar tambang dalam lingkungan 10 peratus hingga 30 peratus.

“Dalam situasi rakyat menghadapi kenaikan kos sara hidup, sebarang keputusan harus dibuat secara teliti dan kementerian akan mengutarakan syor kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat untuk dipertimbangkan,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Sivarraajh Chandran (BN-Cameron Highlands) mengenai gesaansyarikat bas untuk menaikkan tambang sehingga 30 peratus bagi menampung kos operasi yang tinggi.

Semakan tambang yang dilaksanakan pada 2009 menetapkan kenaikan ?sebanyak 31 peratus daripada 6.5 sen sekilometer kepada 8.5 sen sekilometer manakala ?kadar surcaj ditetapkan pada kadar 0.8 sen sekilometer pula dikenakan sejak 2015, menjadikan kadar tambang dinaikkan kepada 9.3 sen sekilometer sehingga kini.

Sementara itu, Kamarudin berkata kementeriannya telah mengenal pasti pengendali bas berisiko tinggi berdasarkan rekod pematuhan peraturan jalan raya mereka.

Kementerian juga telah memperkenalkan Sistem Mata Demerit pada April 2017 yang melibatkan kategori pemegang lesen kenderaan pengangkutan jalan selain sistem penarafan Malaysia Bus Star Rating (MBSR) yang akan diperkenalkan pada 2019 untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan bas ekspres, katanya. – MalaysiaGazette