Setelah kuat dikecam oleh netizen, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menasihatkan agar media dan wartawan lebih waspada dalam membuat laporan masing-masing.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman akan mempertahankan golongan atlet tanpa mengira pakaian mereka.

Tegas Ahli Parlimen Muar itu, beliau berada pada kedudukan hari ini kerana mereka.

Beliau berharap pilihan pakaian wira dan wirawati negara perlu dihormati dan mereka tidak diganggu.

“Sukan adalah untuk semua dan atlet kita ialah wira dan wirawati negara.

“Beberapa atlet telah menghubungi saya secara peribadi mengenai isu ini.

“Saya bertanggungjawab untuk mempertahankan mereka kerana mereka adalah aset negara.

“Terdapat ramai atlet Muslim yang menyumbang pingat kepada negara termasuk Farah Ann Hadi (gimnastik), Nur Dhabitah Sabri (renang) dan Sazali Samad (bina badan),” tulis beliau di halaman Facebook miliknya semalam.

Syed Saddiq berkata, pelumba basikal profesional Azizulhasni Awang yang menjadi juara dunia terkenal dan berasal dari Terengganu juga telah mencapai pengiktirafan antarabangsa tanpa mengira pilihan pakaian yang dikenakannya,”

Menurut Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, ia adalah antara sukan yang diungguli oleh Malaysia memandangkan negara sudah meraih pelbagai pingat dalam acara sukan antarabangsa seperti Komanwel, Sukan Olimpik, Asia dan Sukan SEA.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah bahawa semua pemain bola sepak beragama Islam di bawah Persatuan Bola Sepak Negeri itu dikehendaki memakai pakaian patuh syariah dalam semua kejohanan, sama ada di dalam atau di luar negeri bermula tahun depan.

Beliau berkata, langkah itu adalah selaras dengan dasar kerajaan negeri meletakkan Islam sebagai tonggak pentadbiran utama, termasuk sukan. – MalaysiaGazette