Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Perhimpunan perdana membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tidak ada kena mengena dengan kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafields, USJ 25 dekat Subang Jaya.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kejadian di kuil itu berpunca daripada perbuatan kalangan tertentu yang hendak menguatkuasa undang-undang sendiri.

“Perhimpunan ICERD 8 Disember ini tidak ada kena mengenai dengan kuil. Kita tidak terlibat dengan (kejadian) kuil itu dan kita telah buat kenyataan bahawa peristiwa kuil itu bukan berkait dengan agama dan kaum, tapi angkara pihak tertentu.

“Sebaliknya, yang berkaitan dengan perhimpunan ini kerana kita ada pandangan politik selepas ada menteri buat kenyataan hendak tangguh ratifikasi ICERD dan ada menteri lain kata tunggu dulu.

“Ini menunjukkan kerajaan dalam keadaan celaru,” katanya dalam temubual dengan sebuah media di Terengganu, hari ini.

Abdul Hadi berkata, berikutan keadaan itu Pas memerlukan penjelasan daripada kerajaan Persekutuan, apa keputusan muktamad mengenai ratifikasi ICERD, dimansuhkan atau ditangguh.

Dengan cara itu, katanya, Pas akan meneruskan perhimpunan perdana ICERD di Dataran Merdeka Sabtu depan.

Menurut beliau, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah jelas menyatakan mustahil untuk menandatangani ratifikasi ICERD, tetapi di sebalik jaminan itu, ada pula menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak menerima keputusan berkenaan.

“Kalau Dr Mahathir kata mustahil… mustahil maknanya tidak mungkin. Tetapi kalau ada menteri yang buat kenyataan nak ratifikasi, itu mengatasi (kenyataan) Perdana Menteri.

“Sebab itu, ada orang kata menteri PH ini kena mengaji (belajar) dan mereka perlu diajar supaya faham,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast