Sany Hamzan
Sany Hamzan

KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Nasional (PAN) mengalu-alukan pengumuman pelantikan Prof. Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor sebagai Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bermula 1 Januari ini.

Ketuanya, Sany Hamzan berkata, beliau merupakan pakar dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal yang dihormati dan disegani di peringkat antarabangsa dengan nilai h-index 33 dan mempunyai jumlah ‘citation’ semasa sebanyak 4,456.

Pada masa sama, katanya,Mohd Hamdi dikenali sebagai seorang pentadbir sangat profesional dan mempunyai daya kepimpinan yang tinggi.

“Pemuda PAN mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pendidikan yang mengambilkira merit bagi melantik Naib Canselor di UKM.

“Pelantikan ini merupakan satu tanda aras yang baharu dan wajar dipertimbangkan dalam menilai dan melantik Naib Canselor di seluruh universiti awam di Malaysia bagi memastikan ia dapat melahirkan modal insan kompetitif serta selari hasrat dan dasar kerajaan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan perkhidmatan Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali akan berakhir pada akhir bulan ini selepas kontroversi tindakan beliau menghalang wacana membabitkan aktivis sosial, Hishamuddin Rais.

Menerusi kenyataan Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Abdul Wahid Omar, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik akan melantik Prof. Ir. Dr. Mohd Hamdi sebagai Naib Canselor baharu.

Menurut Sany, Pemuda PAN yakin Prof. Ir. Dr. Mohd Hamdi akan dapat memacu UKM ke arah kecemerlangan lebih tinggi terutamanya sebagai salah satu Universiti Penyelidikan yang tersohor di tanah air dan juga di pentas antarabangsa. – MalaysiaGazette