Dr Ibrahim Ali
Dr Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) akan mengadakan Persidangan Agung Tahunan kali kesembilan NGO itu pada Ahad ini.

Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, tiga sayap Perkasa iaitu Wira, Wiranita dan Wirawati akan bersidang pada sebelah pagi di Hotel Regency, Kampung Baru dengan tema Fasa 153 Ketuanan Melayu.

Katanya, pada sebelah petang pula, persidangan induk akan berlangsung dengan tema Menongkah malapetaka bangsa.

“Seramai 250 perwakilan setiap sayap dijangka hadir, manakala perwakilan induk pula sekitar 1,150 orang.

“Saya sendiri akan merasmikan persidangan agung ini dan ucapan dasar saya bertajuk Malapetaka Bangsa, iaitu ucapan yang akan mendedahkan rentetan peristiwa yang berlaku sebelum ini terutama perkara berkaitan penghinaan terhadap Islam.

“Berkaitan perkara yang memperlekehkan Raja-Raja Melayu, mempersenda umat Melayu dan kaum Bumiputera termasuk isu penting yang ada kaitan dengan masa depan orang Melayu dan kaum Bumiputera,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Menurut Dr Ibrahim, selepas itu wakil setiap negeri akan membahas ucapan dasarnya mengemukakan sebanyak 12 usul yang dinamakan Usul Perisytiharan Ikrar Perjuangan Perkasa Tanpa Nokhtah.

Kata beliau, 12 usul itu adalah komitmen atau ikrar Perkasa termasuk perjuangan pertubuhan itu untuk menentukan Akta Hasutan 1948 dikekalkan, setelah ada ura-ura ia hendak dimansuhkan

“Usul juga berkaitan dengan ICERD, memperincikan dan menolak cadangan Comango yang kita kira bertentangan dengan hukum dan syariat Islam termasuk asas Perlembagaan Negara.

“Begitu juga isu berkaitan liberlisme dan pluralism dan pengembangan budaya LGBT yang bertentangan dengan Islam dan nilai budaya bangsa kita.

“Selain itu, tiga perkara pokok iaitu isu ekonomi, pendidikan dan agama turut dibahaskan,” katanya.

Berkenaan isu ekonomi, Dr Ibrahim menjelaskan perwakilan akan memberi penekanan kepada bahagian kek ekonomi negara secara adil mengikut jumlah penduduk kaum Melayu dan mempersoalkan hak keistimewaan Melayu serta tindakan kesungguhan dalam mengangkat martabat ekonomi Melayu dan Bumiputera.

Kata beliau, isu ekonomi yang akan dibentangkan itu amat serius kerana ia juga berkaitan dengan tanah rizab Melayu dan pemilikan harta oleh kaum Bumiputera.

Menurutnya, Perkasa menyokong dasar keperluan untuk rakyat tanpa mengira kaum bagi orang mikisn dan golongan termiskin.

“Tetapi jangan kita terlepas pandang jurang perbezaan ekonomi antara kaum makin melebar. Hak kaum Bumiputera makin terhakis dan pola perbezaan kaum dan masyarakat dari segi ekonomi makin membimbangkan.

“Jelas sekali tidak ada dasar kesungguhan yang agresif untuk membantu kaum Bumiputera dari segi pembahagian kek ekonomi dan semangat dasar ekonomi baru seolah sudah tamat ataupun mati sebelumnya,” katanya.

Mengenai isu pendidikan, katanya, ia akan jadi tumpuan Perkasa berhubung penekanan perjuangan ke arah pelaksanaan sekolah satu aliran iaitu sekolah kebangsaan yang menggunakan bahasa kebangsaan.

Katanya, bukan saja untuk tujuan integrasi nasional, tetapi sistem pendidikan satu aliran merupakan identiti negara Malaysia.

“Selain itu, isu biasiswa yang menjadi milik kaum Bumiputera dan isu pendidikan yang berkaitan termasuk kuota dan seumpamanya yang sudah hampir dimansuhkan yang jelas bertentangan dengan hasrat dan matlamat penyusunan semula masyarakat di bawah dasar ekonomi baru.

“Dalam isu ekonomi dan pendidikan ini Perkasa tidak akan bersikap apologetik. Biarlah ada suara bercakap soal kesamarataan dan macam-macam bukan saja bukan Melayu, tapi di kalangan Melayu liberal yang melampau pada Perkasa, kita akan tetap hadapi apa jua cabaran dalam perjuangan isu ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast