JODPHUR – Belum reda lagi industri hiburan dunia bercakap tentang perkahwinan pasangan Bollywood, Ranveer Singh dan Deepika Padukone kini tiba pula giliran aktres, Priyanka Chopra dan penyanyi Amerika Syarikat (AS), Nick Jonas.

Menariknya, pasangan ini akan melangsungkan perkahwinan mereka esok di hotel lima bintang atau Istana Umaid Bhawan Rajasthan yang juga dikenali sebagai ‘Bandar Biru India’.

Perkahwinan mereka dikatakan antara majlis kemuncak 2018, mewah dan terbesar bagi tahun ini apatah lagi kedua-dua khasnya Priyanka antara artis terkenal dunia.

Persiapan pasangan ini masih lagi samar-samar berikutan beberapa kejutan bakal diberikan pada keesokan hari namun media terutamanya di India sudah mula sibuk dengan isu tersebut dan berebut-rebut mendapatkan butirannya.

Priyanka dan Jonas yang tiba di Lapangan Terbang Jodphur semalam kelihatan begitu teruja dan sempat melambaikan tangan kepada ratusan media dalam dan luar negara yang menanti untuk mendapatkan komen pasangan tersebut.

Turut bersama mereka termasuk kaum keluarga, saudara lelaki Jonas, Joe dan tunangnya yang merupakan aktres Britain membintangi ‘Game of Thrones’, Sophie Turner.

Jonas sebelum ini pernah bercinta dengan pemenang Miss Universe 2012, Olivia Culpo namun hubungan itu berakhir pada 2015.

Priyanka pernah memenangi pertandingan Ratu Cantik Dunia pada 2000 dan membintangi kira-kira 50 filem Bollywood  di samping beberapa selebriti terke­nal seperti Shah Rukh Khan dan Salman Khan, sekali gus menjadikan beliau sebagai aktres yang menerima bayaran paling tinggi di India.

Wanita ini juga mengecapi kejayaan dalam sekelip mata di barat terutamanya Amerika Syarikat (AS) apabila membintangi siri thriller ABC, ‘Quantico’ dan menghasilkan lagu bersama peneraju carta utama AS termasuk Pitbull dan The Chainsmokers.

Malah majalah Time telah menamakan be­liau sebagai seorang daripada 100 individu paling berpengaruh di dunia pada dua tahun lalu dan 2017, Priyanka disenaraikan antara 100 wani­ta paling berkuasa oleh majalah Forbes.

Nick sebelum ini pernah menubuhkan kumpulan nyanyian yang dinamakan The Jonas bersama dua adik lelakinya dan kini bergerak secara solo.

Penyanyi berusia 25 tahun itu dikatakan melamar Priyanka, 36 di London pada Jun lalu ketika membelikan aktres itu sebentuk cincin.

Dua minggu lepas, pasangan Ranveer dan Deepika yang melalui pelbagai fasa dalam hubungan cinta mereka sejak 2013 akhirnya berkahwin dalam satu majlis tertutup di Lake Como, Itali. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast