Kartina Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – “Apa-apa sahaja yang kita nak lakukan dalam kehidupan kita ni, kita boleh. Kuncinya mindset,”. 

Itu pegangan pengasas dan tenaga pengajar Akademi Apps Master Builder (Akademi AMB), Kartina Abdul Ghani, 53 tahun yang berjaya mencipta sejarah dengan menerbitkan dua aplikasi mudah alih dari atas puncak Gunung Kinabalu, Khamis lalu.

Menurut beliau, setiap usaha yang ingin dilakukan memerlukan objektif yang jelas dan komitmen tanpa berbelah bahagi.

“Saya selalu beritahu anak-anak buah saya, kebanyakan wanita akan selalu dapat capai kejayaan.

“Sebab apa? (Kerana) kita boleh menghadapi apa saja cabaran.

“Impian tu adalah sesuatu yang kita takut. Sebab bila kita takut, kita akan usaha buat seratus peratus,” katanya ketika sidang media atas talian hari ini.

Dalam pada itu, Kartina turut berkongsi detik-detik cemas ketika mendaki Gunung Kinabalu.

Katanya, cabaran terbesar yang dihadapi adalah pada pendakian ketiga, ketika Sabah dilanda taufan.

“Kami terpaksa berlindung dan menghadapi angin kencang tetapi saya merasa tenang kerana kami dilengkapi dengan tali dan panduan yang berpengalaman,” jelasnya.

Menurut beliau, pengalaman tersebut bukan sekadar ujian ketahanan fizikal semata-mata, tetapi turut menguji kekuatan mentalnya.

Bagaimanapun, cabaran tersebut tidak menghalanginya dan merancang untuk mendaki Gunung Kinabalu sebanyak sembilan kali sehingga 9 November depan.

Beliau turut berkongsi tentang usaha perniagaannya yang berfokus kepada pembangunan aplikasi mudah alih.

Katanya, melalui ekspedisi luar biasa yang dijalankannya di Gunung Kinabalu, beliau berharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang peranan penting teknologi.

Kartina turut mendedahkan perancangan untuk membangunkan lima lagi aplikasi baharu yang tetap berkisar tentang Sabah, namun memilih untuk tidak memperincikan projek-projek tersebut buat masa ini. 

“Buat masa ini, kesemua fokus kami adalah tentang Sabah terutamanya kerana banyak aktiviti yang dilakukan adalah di Gunung Kinabalu.

“InsyaAllah, kita merancang untuk menerbitkan lima aplikasi lagi dan tidak akan mengulas banyak tentang itu sekarang dan akan dikongsikan lebih lanjut nanti.

“Kami ingin memberi fokus kepada Sabah dengan menerbitkan maklumat yang mendalam dan setakat ini kami telah menerbitkan beberapa aplikasi seperti ‘Visit Sabah’, ‘Sabah Schoolpedia’ dan ‘Sabah Greeting Cards’ dengan tema wallpaper,” jelasnya.

Di samping itu, Kartina juga berhasrat untuk mengembangkan maklumat mengenai hidupan liar di Sabah dengan membangunkan aplikasi tambahan yang akan menyajikan informasi yang lebih mendalam. 

“Dua daripadanya akan lebih fokus kepada Malaysia. InsyaAllah, kami akan kongsikan cerita lebih lanjut tentang kemajuan ini,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast